AM > BERITA

Kawasan Pencarian Tiga Nelayan Dikhuatiri Hilang Dekat Pulau Payar Diperluas

13/01/2025 02:34 PM

ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) -- Operasi mencari tiga nelayan yang dikhuatiri hilang setelah menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar diteruskan hari ini dan kawasan pencarian diperluas sejauh 371.28 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) mangsa iaitu Asrul Hisham Zainon, 47, anaknya Shahril Aiman Asrul Hisham, 16, serta Mohamad Al-Amin Sufian, 29, diteruskan pada 7.30 pagi ini.

"Operasi CARILAMAT hari ketiga ini membabitkan aset udara dan kapal milik APMM, bot polis dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), melibatkan keluasan sektor pencarian sejauh 371.28 batu nautika persegi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar pada Jumaat lepas. 

Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menjalankan operasi CARILAMAT selepas menerima panggilan daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan dibuat oleh adik seorang daripada mangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan