AM > BERITA

Kadar NPL TEKUN Nasional Turun Kepada Sembilan Peratus - Ewon

13/01/2025 04:48 PM

SUNGAI SIPUT, 13 Jan (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kutipan semula kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) berjaya diturunkan kepada sekitar sembilan peratus setakat ini.

Ewon berkata kadar tersebut berjaya diturunkan daripada lebih 10 peratus sebelum ini dan kejayaan itu  hasil komitmen TEKUN Nasional dan kesefahaman dengan para peminjam serta usahawan untuk membayar semula.

" …. Kutipan semula itulah yang dapat memastikan kita mampu menyalurkan pembiayaan kepada usahawan baharu…," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat TEKUN Cawangan Sungai Siput di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga melaksanakan  pelbagai usaha untuk menggalakkan usahawan termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakan platform media sosial sebagai medium pemasaran produk. 

Langkah itu termasuk kolaborasi TEKUN Nasional dengan TikTok Malaysia apabila enam pejabat agensi itu sedang diubah suai untuk dijadikan studio. 

"Usahawan berkenaan boleh datang ke studio ini untuk memasarkan perkhidmatan atau produk mereka. Pada bulan hadapan, saya akan merasmikan studio yang pertama ini di Sabah, jadi di peringkat kementerian, khususnya melalui agensi, kita sentiasa mendengar keperluan rakyat," katanya.

Enam studio berkenaan akan dilancarkan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak manakala empat lagi di Semenanjung untuk fasa pertama dan berharap jumlah itu boleh ditambah pada masa hadapan menerusi penilaian dan rundingan bersama TikTok Malaysia.

Berkenaan program hari ini, Ewon berkata pembukaan pejabat TEKUN Nasional Cawangan Sungai Siput adalah langkah memperkukuh kedudukan serta memberi manfaat kepada para usahawan setempat, khususnya di Sungai Siput.

"Itu inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara," katanya.

Turut hadir Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Sungai Siput S. Kesavan.

Ewon berkata TEKUN Nasional menyasarkan peruntukan sebanyak RM75 juta kepada 3,000 usahawan informal dan mikro di Perak.

Sejak diwujudkan pada 1998 hingga Disember 2024, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 593,605 usahawan, bernilai RM10.07 billion di seluruh negara.

Bagi negeri Perak, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM678 juta kepada 40,726 usahawan bagi tempoh sama melalui 18 pejabat cawangan TEKUN. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan