KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Shamsul Bahar Mohd Nor telah mengumumkan akan meletak jawatan lebih awal daripada tempoh tamat kontraknya pada Oktober tahun ini.
MGTC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Shamsul Bahar yang menerajui perbadanan itu sejak Oktober 2019 memutuskan untuk meletak jawatan bagi menumpukan kepada urusan peribadi dan kepentingan perniagaan lain.
Menurut MGTC Shamsul Bahar telah memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi hijau dan inisiatif perubahan iklim di Malaysia.
“Di bawah kepimpinan beliau, MGTC telah meraih pelbagai pencapaian penting termasuk meletakkan Malaysia di pentas global,” menurut kenyataan itu.
Sebagai agensi pelaksana bagi penglibatan Malaysia dalam World Dubai Expo 2020, perbadanan itu berjaya mengetengahkan usaha negara dalam memacu kelestarian, menjana lebih RM70 bilion (US$16.5 bilion) dalam perdagangan dan peluang perniagaan iaitu melebihi sasaran awal dengan perbezaan yang ketara, menarik pengiktirafan antarabangsa dan membina perkongsian global.
“Pavilion Malaysia yang merangkul sembilan anugerah dan pengiktirafan, menampilkan elemen utamanya iaitu kanopi hutan hujan sebagai penghormatan hutan hujan Malaysia yang menjadi kemegahan sekali gus melambangkan kegigihan usaha pemuliharaan oleh negara,” menurut MGTC.
MGTC memaklumkan satu lagi inisiatif penting di bawah kepimpinan Shamsul Bahar ialah ‘Rumah Ibadat Hijau’, yang menyumbang besar kepada pengurangan pelepasan karbon di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan cekap tenaga di tempat ibadat, yang berjaya mengurangkan 286 tan pelepasan karbon iaitu bersamaan penanaman 7,150 pokok.
Kenyataan itu memaklumkan, Shamsul Bahar turut menerajui usaha membangunkan perisian Sistem Operasi Karbon Rendah (LCOS) pada 2022, yang membolehkan industri memantau dan mengurangkan pelepasan karbon secara sistematik seterusnya mematuhi piawaian global.
“Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM), satu daripada platform terbaik untuk mempamerkan teknologi hijau dan penyelesaiannya, juga telah menunjukkan pertumbuhan yang baik di bawah pimpinan beliau.
“Pada 2024 sahaja, IGEM telah menjana lebih RM5 bilion dalam bentuk peluang perniagaan, melepasi sasaran awal RM4.8 bilion. Pencapaian ini membuktikan komitmen Malaysia dalam memajukan teknologi hijau dan inisiatif kelestarian,” menurut MGTC.
Selain itu, di bawah kepimpinan beliau, MGTC telah mengeluarkan Pelan Pembangunan Mobiliti Karbon Rendah Negara, yang menggariskan rancangan komprehensif untuk peralihan kepada sektor pengangkutan berkarbon rendah, termasuk mempromosikan kenderaan elektrik (EV), menambah baik pengangkutan awam, dan membangunkan penyelesaian mobiliti bandar yang lestari.
“Baru-baru ini, MGTC juga membantu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam mengeluarkan dokumen Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV.
“Garis panduan itu mengandungi beberapa komponen termasuk perancangan, pelaksanaan, penyelenggaran dan penilaian peralihan,” menurut kenyataan itu.
MGTC mengucapkan terima kasih kepada Shamsul Bahar atas komitmen tidak berbelah bahagi dan kepimpinan yang membawa perubahan besar beliau, yang mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap pertumbuhan hijau global dan tindakan iklim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial