AM > BERITA

Madad Ceburi Perniagaan Jam Dinding Islamik

14/01/2025 12:47 PM

SUNGAI PETANI, 14 Jan (Bernama) -- Pusat pembangunan dan pendidikan ummah, Murtadha Dakwah Centre (Madad) mengembangkan portfolio perniagaannya dengan mengeluarkan jam dinding Islamik.

Pengarah Urusan Madad Mohammad Yaakub Yusra berkata inisiatif berkenaan bertujuan menjana pendapatan kepada institusi itu dalam usaha untuk tidak bergantung kepada sumbangan orang ramai.

“Ini adalah projek terbaharu untuk menambah pendapatan Madad yang diusahakan bersama syarikat Promas Technology (Promas) Sdn Bhd yang sudah lama terlibat dalam pembuatan jam dinding digital dengan fungsi azan.

“Madad telah membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk membina pusat pengeluaran jam itu termasuk pembelian mesin dan peralatan selain penyelidikan,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohammad Yaakub berkata sebanyak 1,000 unit jam yang dilengkapi waktu solat dan azan kini sedia dipasarkan bagi peringkat pertama pengeluaran bulan ini dengan sebahagian besarnya sudah ditempah.

Beliau berkata sebanyak 5,000 unit lagi akan dikeluarkan untuk pengeluaran seterusnya pada bulan hadapan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurut Mohammad Yaakub jam dinding berkenaan bukan sahaja dilengkapi ciri-ciri dan rekaan menarik, tetapi yang lebih penting mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau turut berharap produk keluaran bersama Promas itu dapat diterima masyarakat kerana kualitinya dan bukan disebabkan sentimen agama atau atas dasar ingin membantu Madad semata-mata.

“Kita tidak mahu orang beli kerana kasihankan kepada kita atau sentimen agama, sebab biasanya produk sebegitu tidak akan bertahan. Kita mahu orang beli sebab produk kita berkualiti,” katanya.

Mengulas kemajuan pembinaan Pusat Komuniti Islam Madad, di sini beliau berkata pembinaannya telah mencapai 60 peratus sejak dimulakan pada 2018.

“Kita juga ada beberapa projek lain yang dalam perancangan dan sedang berjalan termasuk pembinaan stesen minyak, hotel dan perumahan serta projek Madad Edu Kids,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan