AM > BERITA

Lebih 3,600 Laman Sesawang Sebar Cetak Rompak Disekat - Armizan

14/01/2025 02:41 PM

PETALING JAYA, 14 Jan (Bernama) -- Sebanyak 3,682 laman sesawang haram yang menyebarkan kandungan cetak rompak seperti filem dan muzik popular telah disekat dari 2021 hingga November 2024, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC ) dan penyedia perkhidmatan Internet (IPS).

“Ini sebahagian komitmen kementerian untuk melindungi karya kreatif tempatan daripada dieksploitasi secara haram,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus perlindungan harta intelek digital di Malaysia di sini hari ini.

Armizan berkata bagi memperkukuh lagi usaha melindungi karya kreatif, KPDN juga telah memperkenalkan ‘Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE)’ yang melibatkan kerjasama antara Kementerian, SKMM, IPS dan pemilik hak cipta. 

Beliau berkata KPDN komited untuk menghapuskan pengedaran cetak rompak digital yang berleluasa di Internet menerusi program berkenaan.

“KPDN akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dalam usaha menangani isu cetak rompak digital,” katanya sambil menambah kerjasama pihak industri amat diperlukan bagi memastikan usaha itu dapat dilaksanakan secara whole-nation approach (pendekatan seluruh negara).

Mengenai aspek kesedaran pendaftaran harta intelek dalam konteks hak cipta, Armizan berkata sebanyak 69,442 permohonan Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MylPO) dari 2012 hingga tahun lepas.

Beliau berkata ini termasuk pelbagai karya kreatif seperti sastera, seni, muzik, filem dan rakaman bunyi.

Berhubung Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Tahun Baharu Cina, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Paling penting untuk kita menentukan SHMMP ini, kita melihat keberadaan barangan dan harga itu perlu dirunding bersama pemain industri kerana kita inginkan situasi menang-menang sebab ia tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kerajaan namun melibatkan perniagaan industri berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan