PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Penggunaan sistem e-Sepakat akan diperluaskan kepada orang ramai pada tahun ini, bagi membolehkan mereka membuat laporan berkaitan isu perpaduan di peringkat akar umbi dengan lebih mudah dan berkesan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 231 kes telah direkodkan menerusi sistem e-Sepakat yang dikendalikan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (J-PERPADUAN).
Berucap pada majlis amanat Menteri Perpaduan Negara 2025 di sini hari ini, beliau berkata daripada jumlah itu, 103 kes adalah berhubung isu agama, 89 kes berkaitan kenyataan berbaur kebencian manakala 39 kes adalah isu perkauman.
“Sistem e-Sepakat ini cuma dikendalikan pegawai perpaduan di peringkat daerah. Saya difahamkan untuk tahun ini, kita akan membuka penggunaan sistem e-Sepakat untuk orang ramai.
“Orang ramai boleh membuat laporan melalui sistem e-Sepakat, di mana maklumat tersebut akan diselaraskan dan diuruskan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.
e-Sepakat adalah mekanisme pengurusan isu perpaduan yang dilaksanakan J-PERPADUAN bagi pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi.
Aaron berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi mengatasi kes membabitkan isu perpaduan.
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus memberikan fokus kepada pelaksanaan program utama di kawasan hotspot, pengurusan isu perpaduan dan program berteraskan keharmonian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 730 program merangkumi 300 program berimpak tinggi telah dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tahun lepas berteraskan kluster Semarak Kenegaraan, Semarak Pepaduan dan Komuniti RAHMAH.
“Kejayaan ini bukan milik seorang individu tetapi adalah hasil kerjasama erat dan semangat kerja berpasukan di setiap lapisan organisasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial