AM > BERITA

Menteri Kabinet Ucap Selamat Hari Ponggal

14/01/2025 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Barisan Kabinet hari ini mengambil kesempatan  mengucapkan Selamat Hari Ponggal kepada semua penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Ponggal sinonim dengan penghargaan terhadap hasil tuaian dan tanda kesyukuran, melambangkan semangat kebersamaan, keharmonian dan keutuhan keluarga serta mengingatkan tentang kepentingan menghargai nikmat alam dan usaha gigih petani yang menjadi tulang belakang negara.

“Semoga perayaan Ponggal kali ini membawa kebahagiaan, rezeki yang melimpah, serta mengeratkan lagi silaturahim antara kita semua, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Malaysia adalah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, dan keharmonian ini adalah kekuatan utama kita. Marilah kita terus menghormati dan menyemarakkan semangat perpaduan demi masa depan lebih gemilang.

“Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum. Semoga tahun baharu ini membawa harapan dan peluang baharu buat semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said  menerusi hantaran di Facebooknya turut mengucapkan selamat menyambut Hari Ponggal kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia yang meraikannya hari ini.

“Semoga perayaan tahun ini lebih meriah dan membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada mereka yang meraikannya dalam suasana harmoni masyarakat majmuk berbilang bangsa di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Ponggal kepada seluruh masyarakat Hindu dan mendoakan semua terus beroleh nikmat kehidupan yang sejahtera serta dilimpahi rezeki.

“Pesta Ponggal ini juga antara simbolik perpaduan di negara kita yang kaya dengan kepelbagaian warisan serta budaya. Mudah-mudahan lembaran baharu ini menambah kekuatan, perpaduan dan keharmonian kita semua,” katanya menerusi Facebook.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berkata kepelbagaian kekal sebagai aset paling bernilai untuk Malaysia dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Tamil dan selamat menyambut Perayaan Ponggal.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook berkata Hari Thaipongal adalah hari yang amat bermakna, khususnya buat golongan Tamil yang turut menyambut tahun baharu dan juga lambang rezeki yang berpanjangan.

“Saya bersama seisi keluarga, juga bersama-sama pasukan saya di Kementerian Kesihatan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Parti Amanah Negara mengucapkan selamat menyambut tahun baharu dan Hari Thaipongal kepada mereka yang menyambutnya, sama ada di Malaysia atau seluruh dunia,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut mengucapkan selamat menyambut Ponggal menerusi poster di Facebook beliau hari ini.

Ponggal adalah perayaan menuai yang disambut oleh komuniti India di serata dunia, termasuk Malaysia. Perayaan ini menandakan penghargaan kepada dewa matahari (Surya) serta bumi (Bhoomi) atas hasil tuaian yang melimpah dan kemakmuran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan