AM > BERITA

Penyelidik UTeM Hasilkan Sistem Fertigasi Pintar Tingkat Hasil Pertanian

14/01/2025 07:31 PM

MELAKA, 14 Jan (Bernama) -- Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan sistem fertigasi pintar berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

Sistem berkenaan dibangunkan lima penyelidik dengan diketuai Prof Madya Dr Imran Mohd Ibrahim daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK). 

Imran berkata menerusi penggunaan sistem itu, pengeluaran tanaman seperti timun dapat dipertingkatkan daripada enam tan dalam tempoh enam minggu kepada 4.5 tan dalam tempoh dua minggu dan jumlah pengeluaran itu dapat mencapai hingga 10 tan dalam tempoh enam minggu.

"Selain itu, 95 peratus hasil tuaian adalah gred A dan B yang boleh dijual manakala hanya lima peratus gred C yang tidak boleh dijual, sekiranya menggunakan kaedah konvensional, sebanyak 20 peratus hasil tuaian adalah gred C.

"Produk ini telah diuji dan dibuktikan fungsinya di ladang berskala pertanian komersial melibatkan 1,000 pokok timun dan ia telah menunjukkan peningkatan hasil tuaian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Imran berkata sistem fertigasi pintar itu menghubungkan sensor di ladang secara tanpa wayar menggunakan Teknologi LORA ke Pusat Pengumpulan Data. 

Beliau berkata maklumat data berkenaan boleh diakses pada paparan pemuka peranti tablet atau komputer secara jarak jauh sekali gus membolehkan petani memantau kandungan air dan baja pada tanaman serta tahap kesihatan pokok selain membuat kawalan pam air secara pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. 

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata produk berkenaan telah digunakan di Kebun Komuniti Durian Tunggal di Alor Gajah bersempena dengan program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) di bawah tajaan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata projek itu dibangunkan menerusi kerjasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan kumpulan penyelidik terlibat sejak pertengahan tahun lepas.

"Usaha yang dilakukan kumpulan penyelidik terbabit berjaya menaik taraf sektor pertanian ke tahap lebih moden dan maju menerusi kepakaran yang dimiliki serta penggunaan teknologi terkini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan