AM > BERITA

Kawalan Sempadan Ketat, Jumlah Pasangan Malaysia Nikah Di Selatan Thailand Berkurangan

15/01/2025 09:39 PM

NARATHIWAT, 15 Jan (Bernama) -- Jumlah rakyat Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand semakin berkurangan selepas pihak berkuasa mengetatkan kawalan sempadan dengan menutup pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak awal Disember lepas.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Abdul Aziz Che Mamat berkata sejak kawalan diperketat, jumlah pasangan dari Malaysia yang hadir untuk bernikah turun mendadak daripada empat atau lima pasangan sehari kepada satu atau dua pasangan sahaja.

"Sebelum ini dianggarkan 50 pasangan Malaysia datang bernikah di sini (Selatan Thailand) setiap bulan. Pada masa ini jumlahnya berkurangan sebanyak 40 peratus.

“Walaupun mereka boleh menggunakan laluan sah di Jambatan Muhibbah dengan dokumen pasport yang lengkap, ramai masih memilih pangkalan haram untuk ke Thailand," katanya pada lawatan khas media Malaysia di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun syarat pasport diwajibkan, ada pasangan tidak mematuhinya dan sanggup berdepan denda daripada Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Abdul Aziz mendedahkan pada tahun lepas, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat telah menikahkan  kira-kira 600 pasangan dengan lebih 300 daripadanya adalah rakyat Malaysia terutama dari Kelantan dan Terengganu.

“Kebanyakan pasangan Malaysia yang bernikah di sini berusia antara 40 hingga 60 tahun kerana tujuan poligami.

"Pasangan muda berusia antara 20 hingga 30-an pula kebanyakannya bernikah di Thailand akibat tentangan keluarga atau kehamilan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan