AM > BERITA

Bandar Teknologi Maju Perlis Bakal Jadi Pemacu Pembangunan Ekonomi Digital

15/01/2025 09:30 PM

KANGAR, 15 Jan (Bernama) -- Projek Bandar Teknologi Maju Perlis (PATP) yang dirancang dibangunkan di Chuping bakal menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi digital, sekali gus menjadikan negeri itu destinasi strategik pelaburan antarabangsa.  

Pelaksanaan projek itu melibatkan usaha sama Perlis State Secretary Incorporation (PSSI) dengan Sirage Skyvast Holdings Sdn Bhd yang disasarkan menjadi hab teknologi luar grid dengan infrastruktur tenaga yang mampan.  

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang juga Pengerusi PSSI Datuk Rahimi Ismail berkata projek itu melibatkan kawasan seluas 242.8 hektar yang direka untuk menjadi pusat data kecerdasan buatan (AI DC), pusat data berskala besar serta aplikasi pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).  

“PATP menggunakan sistem tenaga berdedikasi yang merangkumi loji solar berkapasiti 1.6 gigawatt (GW), Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 4.875 GW, dan Loji Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 1 GW. 

"Infrastruktur ini memastikan bekalan elektrik stabil, mampan, dan boleh dipercayai tanpa bergantung pada grid nasional,” katanya ketika berucap pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) untuk projek itu antara PSSI dan Sirage Skyvast di sini hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan pertukaran dokumen MoU itu.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Rahimi berkata projek berimpak tinggi itu dijangka menjana 9,000 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan 2,000 pekerjaan ketika ia beroperasi sepenuhnya, selain dijangka menarik pelaburan bernilai RM49 bilion dan sejajar dengan Rancangan Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) serta Pelan Digital Perlis 2021-2035.

Beliau berkata kerjasama itu turut memberikan manfaat kepada sektor hartanah, pelancongan dan peruncitan selain meningkatkan nilai pasaran dan merangsang pembangunan baharu.  

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Rahimi berkata PATP juga telah mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang melihat projek itu sebagai pemangkin kepada pelaburan pusat data di Malaysia dengan manfaatnya melangkaui sempadan Perlis.  

"Pusat data ini menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk operator seperti Microsoft dan Google. Sebelum ini, banyak pusat data tertumpu di Singapura yang kini beralih ke Malaysia. Dengan tanah yang tersedia di Perlis, kita mampu menarik lebih banyak pelaburan ke sini," katanya.  

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan