AM > BERITA

Pencapaian Lima Substrategi Nacs Tingkat Keyakinan Rakyat Terhadap Kerajaan

15/01/2025 10:28 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Lima substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang telah dicapai akan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan bebas rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi pencapaian itu, ia sekali gus dapat memacu kedudukan Malaysia di kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

Lima substrategi itu ialah Pemantapan Tatakelola dan Fungsi Audit Dalam Perkhidmatan Awam; Pengenalan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan [Akta 860]; Penambahbaikan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR); Pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, lntegriti dan Antirasuah (MPGIA) serta Pelaksanaan Minggu Tema Bagi Memperkukuh Etika, Nilai-Nilai Murni dan Etika Pelajar Sekolah dengan Kit Duta Sahsiah.

Terdahulu, SPRM memaklumkan satu perbincangan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah diadakan di Putrajaya, hari ini.

Perbincangan menjurus kepada perancangan input serta gerak kerja media bagi memperkasakan hebahan tentang usaha pengukuhan tatakelola dan antirasuah di peringkat nasional di bawah NACS 2024-2028 dan dasar-dasar yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) sepanjang 2024.

Perbincangan dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta ketua setiausaha, ketua jabatan dan timbalan ketua setiausaha bagi lima agensi peneraju NACS.

Lima agensi berkenaan ialah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan