AM > BERITA

Malaysia, UK Optimis Peroleh Penyelesaian Isu Gaza Secepat Mungkin

16/01/2025 12:11 AM

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

LONDON, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia dan United Kingdom cukup optimis untuk mendapatkan penyelesaian dalam isu rakyat Palestin dan Gaza secepat mungkin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya Sir Keir Starmer di No. 10, Downing Street di sini hari ini.

“Kami membincangkan penyelesaian bagi isu rakyat Palestin dan Gaza dengan (resolusi) muktamad untuk mereka mencapai penyelesaian dua negara.

“Namun, sebelum itu (perlu) gencatan senjata segera. Kami begitu optimis untuk memperoleh penyelesaian secepat mungkin,” kata beliau kepada media selepas pertemuan itu.

Kritikan Anwar terhadap kekurangan tindakan oleh negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza telah menarik sokongan daripada tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

Dalam pada itu, kerajaan pimpinan Starmer yang mula mentadbir enam bulan lepas, telah menggantung penjualan senjata tertentu kepada Israel dan memohon bantuan kemanusiaan kepada Gaza dan Tebing Barat dipercepat.

Menurut laporan media, setakat 8 Jan 2025 lebih 47,000 orang dilaporkan terbunuh sejak perang tercetus di Gaza pada Oktober 2023.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan