AM > BERITA

713 Pelajar Di Melaka Terima Peranti Melalui Program Anak Kita

16/01/2025 12:38 PM

MELAKA, 16 Jan (Bernama) -- Sejumlah 713 pelajar Tingkatan Empat yang kurang berkemampuan dari 61 sekolah di Melaka menerima peranti berupa tablet untuk membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PDP) mereka, terutamanya dalam elemen teknologi dan digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tablet tersebut disumbangkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia.

"Dunia digital akan semakin mencabar pada masa depan, dan anak-anak ini perlu diasuh untuk mengenal dunia digital serta meneroka bidang baharu kerana masa depan dunia bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang. Asuhan ini perlu dimulakan sekarang," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penyampaian Kit Peranti dan Sijil Kolaboratif Program Anak Kita peringkat Melaka di sini, hari ini.

Beliau juga berharap supaya peradaban kemanusiaan dan nilai Islam dapat dijadikan panduan untuk mengatur kehidupan pada masa depan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Pejabat Perdana Menteri Mohd Khalid Mohamed Latif dan pemangku Pengarah Pendidikan Melaka Karim Tumin.

Ab Rauf berkata Melaka menerima sebanyak RM23 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) disalurkan Kementerian Pendidikan kepada negeri itu dan akan disalurkan kepada lebih 153,000 murid dan pelajar.

Sementara itu, Mohd Khalid dalam ucapannya berkata Program Anak Kita bertujuan memberi sokongan pemulihan pembelajaran kepada murid dan pelajar di seluruh negara.

Program ini, katanya turut memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar pelajar tidak hanya lulus, tetapi mencapai keputusan yang lebih baik.

"Langkah juga akan diambil untuk memastikan murid tercicir kembali ke sekolah dan memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti tanpa ada yang tertinggal," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan