AM > BERITA

WBB Masih Di Peringkat Cadangan - Dzulkefly

16/01/2025 03:07 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Waktu Bekerja Berlainan (WBB) iaitu sistem syif baharu untuk petugas penjagaan kesihatan awam masih di peringkat cadangan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ia merupakan usaha berterusan untuk penambahbaikan perkhidmatan dan kebajikan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

"Apapun perkara ini (WBB) masih dalam status cadangan dan belum pun sampai kepada saya dan juga jauh lagi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Malangnya ia telah didedahkan, mungkin sengaja, mungkin tidak sengaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan kepada murid Tahun 1 kategori B40 dan M40 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Hartal Doktor Kontrak (HDK) untuk menarik balik WBB dengan serta-merta.

HDK mendakwa WBB telah menyebabkan kemarahan dalam kalangan pegawai perubatan apabila KKM mengumumkannya tanpa penglibatan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan utama.

Dzulkefly berkata beliau faham setiap cadangan ada baik dan buruknya yang akan menimbulkan kegusaran.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata sebarang pelaksanaan akan melalui proses penilaian libat urus yang teliti khusus dengan hospital, doktor pakar dan ketua-ketua jabatan berkaitan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan