AM > BERITA

Genjatan Senjata: Bantuan Kemanusiaan Perlu Segera Disalur Kepada Rakyat Palestin - Ahmad Zahid

16/01/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Malaysia menyeru supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan segera kepada rakyat Palestin susulan pengumuman genjatan senjata antara Hamas dan Israel yang dijangka berkuat kuasa Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata rakyat Palestin kini berdepan krisis bekalan makanan, sumber air bersih, bahan api serta keperluan perubatan dan kesihatan.

Beliau berkata Malaysia juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berpanjangan itu.

Ahmad Zahid berkata Malaysia menzahirkan rasa syukur atas pengumuman gencatan senjata itu ekoran ketegangan berpanjangan di Asia Barat yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin.

“Gencatan senjata awal selama enam minggu ini, yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden adalah hasil rundingan bersama Mesir dan Qatar. Langkah ini merangkumi penarikan balik tentera Israel secara berperingkat serta pembebasan tebusan oleh Hamas dan dijangka berkuat kuasa pada Ahad ini.

“Langkah ini adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis yang telah berlangsung lebih 460 hari dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza dan menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian lebih luas.

“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan