AM > BERITA

Lebih 19,000 Pencarum Dapat Manfaat Kemudahan Dialisis Perkeso - Sim

16/01/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Lebih 19,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mendapat manfaat daripada peruntukan lebih RM400 juta bagi rawatan dialisis di pusat dialisis yang disediakan agensi itu sepanjang tahun lepas.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata peruntukan itu merupakan perbelanjaan tahunan Perkeso bagi mengendalikan pusat dialisisnya sendiri dan kos mengendalikan pusat itu bagi merawat pesakit diabetes serta buah pinggang yang meningkat setiap tahun.

“Peningkatan purata dari segi pesakit ini lebih kurang 15 hingga 16 peratus setiap tahun, dengan 2,550 pesakit dalam kalangan orang berinsurans (OB) memerlukan rawatan dialisis. Kita nampak ia satu trend yang membimbangkan namun kita juga mengadakan kempen penjagaan seperti Kempen Tolak Gula (yang dilancarkan setiap tahun Perkeso),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Dialisis Perkeso cawangan Kuala Lumpur di Wisma Perkeso di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal.

Mengulas lanjut, Sim berkata pusat dialisis cawangan kelima itu dibuka pada November lepas susulan penubuhan kemudahan sama di Kluang dan Batu Pahat di Johor serta Shah Alam dan Klang di Selangor.

“Pengoperasian pusat ini (cawangan Kuala Lumpur) dilengkapi enam mesin dialisis yang boleh memanfaatkan 18 pesakit bagi tiga sesi sehari bertujuan membantu pencarum mendapatkan rawatan berkualiti. Jika ada keperluan, kita akan tambah mesin,” katanya.

Sementara itu, Subahan dalam ucapannya berkata pihaknya komited membantu pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang melalui penubuhan pusat dialisis Perkeso sendiri yang menawarkan rawatan berkualiti setaraf pusat swasta pada kos berpatutan.

“Walaupun kos tanggungan dijangka melebihi RM0.5 bilion menjelang 2030, inisiatif strategik ini signifikan bagi meringankan beban kewangan OB.

“Selain mengurangkan perbelanjaan peribadi pesakit, Pusat Dialisis Perkeso turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan tanpa halangan sejajar dengan komitmen penambahbaikan berterusan dalam memenuhi kepuasan pelanggan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Subahan menggesa pekerja baik dalam sektor awam mahupun swasta supaya menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan analisa Program Saringan Kesihatan Perkeso sehingga Disember 2024 mendapati 23.15 peratus pekerja mempunyai masalah obesiti.

Beliau berkata 19.39 peratus pekerja di negara ini juga menghidap kencing manis, menderita darah tinggi (19.66 peratus), mempunyai masalah kolesterol (59.75 peratus) dan mengalami penyakit buah pinggang tahap akhir (0.38 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan