AM > BERITA

Labuan FSA Perkukuh Integriti Sektor Dengan Dasar Toleransi Sifar

17/01/2025 04:08 PM

LABUAN, 17 Jan (Bernama) – Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) telah mengesahkan komitmennya untuk mengukuhkan integriti sektor kewangan Labuan, dengan berpegang pada dasar toleransi sifar yang tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

Labuan FSA melalui satu kenyataan kepada Bernama hari ini menekankan kesediaannya untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang keras terhadap individu atau entiti yang didapati terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.

Tindakan penguatkuasaan yang dikenakan mungkin melibatkan penalti pentadbiran, sekatan perniagaan, pembatalan lesen serta penyahsenaraian daripada pendaftaran. 

Ia juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain untuk membuat pendakwaan jenayah jika perlu.

“Entiti yang dilesenkan di bawah bidang kawal selia kami perlu mematuhi standard tertinggi kelakuan profesional serta mematuhi semua peraturan,” katanya.

Akan ada usaha berterusan untuk memastikan penyedia perkhidmatan kewangan mematuhi undang-undang dan garis panduan.

 Pihak berkuasa itu juga menasihatkan orang ramai untuk menjalankan usaha wajar yang menyeluruh serta mendapatkan nasihat kewangan profesional sebelum terlibat dalam sebarang pelaburan kewangan.

“Adalah penting untuk mengesahkan kelayakan penyedia perkhidmatan kewangan berkenaan bagi memastikan mereka dilesenkan dengan betul dan diberi kuasa oleh pihak berkuasa termasuk Labuan FSA,” tambahnya lagi.

Kenyataan ini dibuat susulan laporan terbaru mengenai dakwaan penipuan pelaburan yang melibatkan entiti berlesen di bawah bidang kuasa Labuan FSA. 

Labuan FSA melahirkan kebimbangan terhadap perkara itu dan mengesahkan dedikasinya untuk memelihara integriti serta kepercayaan sistem kewangan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan