KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Isu mengenai cadangan pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) antara yang akan dibincangkan pada sesi pemukiman Kementerian Kesihatan (KKM) bermula hari ini hingga 19 Jan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebarang perkembangan lanjut berhubung isu itu akan diumumkan selepas tamat pemukiman.
“Isu utama yang akan dibincangkan (ketika pemukiman) melibatkan isu-isu sumber manusia, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan ketidakseimbangan agihan petugas kesihatan termasuklah isu cadangan WBB,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Dzulkefly berkata WBB bertujuan untuk mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Beliau berkata pelaksanaan sistem itu antara lain bagi mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan (on-call) aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat serta memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.
“(Selain itu) Mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu kepada maksimum 72 jam seminggu.
Menurut Dzulkefly, WBB adalah cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina oleh petugas KKM sendiri berdasarkan libat urus sejak Januari tahun lepas di beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih membabitkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.
“Sistem ini dimaksudkan menjadi sistem ketiga yang berjalan selari dengan sistem atas panggilan sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementerian komited untuk menambah baik persekitaran kerja yang menyokong kebajikan dan kesejahteraan warganya selain terus memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial