PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 86.94 peratus kes pembuangan kerja telah diselesaikan di Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) bagi tempoh lima tahun sejak 2019.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peratusan itu merupakan hasil dapatan kajian berkenaan pengurusan kes-kes di MPM (mengikut kategori).
Beliau berkata sebanyak 53,024 data kes telah diterima daripada mahkamah itu dalam tempoh lima tahun (2019-2023).
"Kategori kedua tertinggi ialah bagi ketidakpatuhan award dan perjanjian kolektif iaitu 9.74 peratus manakala peratusan bagi kategori kes yang lain adalah kecil iaitu antara 0.04 peratus dan 1.62 peratus," katanya kepada media selepas melancarkan Buku Laporan Kajian Pengurusan Kes-Kes di MPM di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata lima negeri tertinggi yang mencatatkan peratusan penyelesaian kes tertinggi bagi tempoh itu ialah Selangor dengan 47.61 peratus, Kuala Lumpur (17.82 peratus), Johor (6.66 peratus), Pulau Pinang (5.81 peratus) dan Perak (4.63 peratus).
Beliau berkata kajian itu juga mendapati pengadu lelaki merupakan kumpulan pengadu tertinggi yang terlibat dalam kes pembuangan kerja iaitu 72.99 peratus berbanding pengadu perempuan 27.01 peratus.
Dari segi penglibatan kesatuan sekerja dan majikan pula, beliau berkata didapati 77.78 peratus kesatuan sekerja telah terlibat dalam penyelesaian kes di MPM manakala 22.22 peratus daripada pihak majikan.
Bagi perjanjian kolektif, Mohd Uzir berkata hasil dapatan mendapati sektor pembuatan adalah sektor tertinggi yang terlibat dalam penyelesaian kes berkaitan perjanjian kolektif iaitu 59.34 peratus.
Ia diikuti dengan pengangkutan dan penyimpanan iaitu 8.30 peratus serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful (6.76 peratus).
"Dapatan kajian juga menunjukkan 96.71 peratus jenis permohonan perjanjian kolektif yang diterima di MPM adalah yang diperbaharui manakala 3.29 peratus perjanjian kolektif yang baharu," katanya.
Mohd Uzir berkata kajian itu turut melihat alternatif penyelesaian menggunakan pendekatan mediasi oleh MPM dalam usaha untuk membantu pihak pengadu.
Beliau berkata analisis kajian menunjukkan 8,020 sesi mediasi telah dijalankan sepanjang tempoh lima tahun melibatkan Pengerusi Mahkamah (80.96 peratus) dan Penolong Pendaftar (19.04 peratus).
Mahkamah Kuala Lumpur telah mencatatkan peratusan pelaksanaan sesi mediasi tertinggi iaitu 66.49 peratus diikuti Pulau Pinang (25.43 peratus) dan Perak (3.31 peratus).
Selain itu, beliau berkata hasil kajian itu mencadangkan lapan tumpuan strategik yang merangkumi 21 inisiatif dan 21 pelan tindakan, khusus untuk pihak yang terlibat dalam pengurusan kes di MPM.
"Tumpuan strategik terhadap inisiatif tersebut merangkumi memperkasa pengurusan kes, meningkatkan kecekapan pengurusan MPM, menyemak dan menambah baik modul pendidikan buruh dan memperkasa pengurusan data sedia ada bagi perekodan data yang lebih efisien," katanya.
Kajian yang telah dijalankan dari 8 Feb hingga 31 Dis 2024 itu, merangkumi data bagi kes selesai, kes belum selesai, penyelesaian melalui kaedah mediasi, perjanjian kolektif dan keputusan (award) yang dikeluarkan.
Sementara itu, 19 sesi perbincangan kumpulan berfokus dan temu ramah turut dijalankan yang melibatkan 69 orang wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi serta ahli akademik, persatuan majikan dan kesatuan sekerja.
Kajian itu adalah penyelidikan berorentasikan dasar yang bertujuan membantu pembuat dasar dan pihak berkepentingan yang telibat.
la memberi sumbangan yang penting dari sudut praktikal dengan mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan bagi membantu kementerian dan agensi berkaitan menambah baik dasar, perundangan dan pelaksanaan program sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial