AM > BERITA

Eksport Sarang Burung Ke China Disambung Semula Selepas Protokol Baharu Dimuktamadkan - DVS

17/01/2025 07:03 PM

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Eksport produk sarang burung Malaysia ke China akan disambung semula selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memuktamadkan protokol eksport baharu dengan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC).

Protokol itu menggariskan keperluan pemeriksaan, kuarantin dan kebersihan untuk pengeksportan sarang burung yang belum dibersihkan dan yang telah dibersihkan dari Malaysia ke China. Langkah ini susulan penangguhan sementara eksport sarang burung sejak 20 Dis 2024.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa sesi perundingan bersama GACC telah diadakan untuk memastikan keperluan protokol berkenaan mematuhi kepentingan kedua-dua negara dan garis panduan veterinar antarabangsa.

"DVS juga mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemain industri dan perbincangan dengan kementerian berkaitan untuk memastikan keperluan yang digariskan dalam protokol dapat dipatuhi.

"Seiring penyambungan semula eksport, ini akan memberi manfaat kepada penternak, pemproses dan pengeksport sarang burung Malaysia. Sebanyak RM90 juta nilai produk sarang burung Malaysia dijangka dieksport dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

DVS juga mengulangi komitmen untuk memastikan produk yang dieksport ke China adalah berkualiti, selamat dimakan dan mematuhi peraturan serta protokol ditetapkan.

Pada 31 Dis lepas, DVS memaklumkan Malaysia telah diminta untuk menangguhkan sementara eksport produk sarang burung, termasuk sarang burung yang telah dibersihkan dan yang belum dibersihkan ke China bermula 20 Dis.

Keputusan ini selaras dengan Protokol Produk Sarang Burung yang dieksport dari Malaysia ke China.

China, melalui GACC, telah meminta penangguhan ini berikutan laporan penularan penyakit sampar ayam atau Newcastle Disease (ND) di Malaysia antara Mac dan Jun 2024, seperti yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

Bagaimanapun, DVS mengesahkan bahawa tiada kes ND dikesan di premis atau produk sarang burung yang dipantau oleh jabatan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan