Daripada D. Arul Rajoo
BRUSSELS, 18 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Belgium bermula Ahad, selepas selesai lawatan kerjanya ke United Kingdom.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke Belgium sejak beliau memegang jawatan itu, yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Belgium serta Kesatuan Eropah (EU).
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada lawatan itu, Anwar akan bertemu Perdana Menteri Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium dan mempergiat usaha kerjasama, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Perdana Menteri juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, dan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan cara untuk mempertingkatkan lagi hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri akan menyatakan keutamaan Malaysia dan aspirasi global ASEAN dalam menangani cabaran antarabangsa, sambil meneroka cara untuk mengukuhkan lagi hubungan dialog ASEAN-EU.
Kementerian Luar memaklumkan Anwar juga akan menekankan keyakinan Malaysia ke arah memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam rangka kerja inklusif, mampan dan berorientasikan masa depan.
Semasa lawatan itu, Anwar juga akan menyampaikan ucaptama di College of Europe, bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience.
Dari Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU, termasuk Belgium, berjumlah RM200 bilion (USD43.71 bilion).
Sehingga kini, 1,345 projek pembuatan dengan penyertaan EU telah dilaksanakan di Malaysia, menarik pelaburan berjumlah RM239.9 bilion (USD59.80 bilion) dan mewujudkan 155,933 pekerjaan.
Selepas lawatan dua hari itu, Anwar akan berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial