AM > BERITA

Ramssol Sasar Jual Sehingga 200,000 Motosikal Terpakai Menerusi Platform Rider Gate

18/01/2025 07:00 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Ramssol Group Bhd menyasar menjual 100,000 hingga 200,000 motosikal terpakai tahun ini melalui platform digitalnya, Rider Gate, yang dibangunkan oleh anak syarikatnya, RAMS Autotech.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata syarikat itu optimis dengan sasaran tersebut berikutan permintaan pasaran yang kukuh terhadap motosikal terpakai di negara ini.

“Dalam setahun, kira-kira dua juta urus niaga motosikal terpakai berlaku.

“Jadi, mudah-mudahan kami boleh mengurus niaga sekitar 100,000 hingga 200,000 motosikal, mewakili 10 peratus daripada pasaran motosikal yang diurusniagakan selama setahun,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Tan berkata Rider Gate merupakan platform dalam talian di Malaysia bagi motosikal terpakai untuk memasuki pasaran dengan lebih 150 pengedar berdaftar dan syarikat itu menyasar untuk mengembangkan rangkaian tersebut kepada 1,000 pengedar dalam tahun pertama pelancarannya.

“Kami sudahpun bermula di Kuala Selangor dan Seremban, jadi kami ingin mengembangkannya ke seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak,” katanya.

Menerusi ucapannya, Tan berkata Rider Gate adalah aplikasi yang direka untuk menjadikan transaksi motosikal lebih mudah, pantas dan selamat.

“Aplikasi ini menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk semua orang dengan menyediakan akses kepada motosikal berkualiti tinggi, perkhidmatan telus dan pemeriksaan motosikal percuma,” katanya.

Sementara itu, Loke menerusi ucapannya berkata platform Rider Gate memberi keyakinan kepada pengguna dengan memastikan setiap transaksi dilakukan secara telus dan bebas daripada sebarang risiko penipuan.

“Rider Gate menunjukkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk menyelesaikan cabaran yang selama ini membelenggu pasaran motosikal terpakai, seperti risiko penipuan, rekod pemilikan yang tidak jelas dan kebimbangan terhadap kecacatan mekanikal.

“Ia bukan sahaja memudahkan kehidupan pengguna, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang menggalakkan lebih banyak aktiviti perniagaan yang beretika dan mampan,” katanya.

Pada majlis itu juga Rider Gate memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan eAuto Sdn Bhd untuk memudahkan dan meningkatkan perkhidmatan pemindahan pemilikan, memastikan pematuhan dan proses tanpa kerumitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan