AM > BERITA

Tipu Umrah: MOTAC Teliti Wajibkan Syarikat Pengendali Punyai Jaminan Bank RM250,000

18/01/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti secara menyeluruh pelaksanaan mewajibkan syarikat pengendali umrah mempunyai jaminan bank sekurang-kurangnya RM250,000.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan dasar yang akan dimuktamadkan kelak itu diharapkan dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.

“Untuk pengendali berskala besar pula, jaminan bank ini akan dinaikkan mengikut saiz operasi syarikat mereka,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

MOTAC memaklumkan langkah berkenaan susulan kes penipuan yang semakin kerap dan serius dengan jaminan bank bagi syarikat-syarikat pengendali termaktub dalam Peraturan-peraturan Industri Pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Langkah itu bertujuan memastikan perkhidmatan yang berkualiti dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara. Misalnya apabila berlaku penipuan, dana daripada jaminan bank ini akan digunakan untuk memberi pampasan kepada mangsa yang terjejas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menegaskan yang MOTAC tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen mereka serta-merta tanpa kompromi sekiranya ada syarikat yang tidak dapat memenuhi keperluan berkenaan.

Kementerian berkenaan memaklumkan kecewa kerana meskipun tindakan telah diambil terhadap pengendali yang gagal mematuhi undang undang sebelum ini, namun masih ada syarikat yang terus mengabaikan tanggungjawab.

“MOTAC menegaskan dan mengulangi komitmen untuk melindungi kepentingan jemaah umrah dengan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pengendali yang gagal mematuhi keperluan serta peraturan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan 135 mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang telah hadir ke kementerian itu di Putrajaya semalam untuk mengadu tentang pengendali yang gagal menguruskan perjalanan mereka mengerjakan umrah dan ini menunjukkan isu berkenaan tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan.

Menurut kenyataan itu MOTAC sebelum ini telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan pengendali umrah iaitu Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) serta Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

“Kementerian tiada pilihan selain bertindak tegas bagi melindungi hak dan kepentingan jemaah umrah. Kepercayaan rakyat terhadap industri umrah harus dipulihkan dan pengendali yang cuai atau tidak bertanggungjawab tidak akan diberi ruang untuk terus beroperasi,” menurut kenyataan itu.

MOTAC turut menyeru semua pengendali umrah untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan yang bukan sahaja untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kredibiliti industri umrah di Malaysia terus kekal diyakini.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan