AM > BERITA

Pemimpin Kehakiman Perlu Berani, Teguh Tegakkan Keadilan - Tengku Maimun

20/01/2025 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menekankan kepentingan pemimpin kehakiman mengekalkan keberanian dan keteguhan dalam memperjuangkan keadilan.

Beliau berkata sebagai pemimpin kehakiman, seseorang itu perlu sentiasa mengingati bahawa institusi kehakiman ialah laluan kepada kemajuan dan menjadi penanda aras bagi rakyat menilai negara dan komuniti itu.

"Jika anda pemimpin kehakiman, anda mesti berani lakukan apa yang anda fikirkan betul dan kekal teguh dalam mengejar perkara itu. 

"Amat mudah untuk bercakap tentang kebebasan kehakiman, tetapi prinsip itu perlu diterjemahkan kepada tindakan dan juga penghakiman," katanya pada program Live to Lead: The Chief Justice’s Journey yang diadakan di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai tuduhan atau dakwaan yang beliau hadapi sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama di Malaysia, Tengku Maimun berkata cabaran bukanlah berkaitan gender, tetapi berpunca daripada kurangnya pemahaman terhadap kedudukan atau keputusan beliau.

Ketika diminta menamakan kes penting dalam karier beliau, Tengku Maimun berkata ia berkaitan kes seorang guru tadika M. Indira Gandhi. 

Beliau menegaskan bahawa kes itu tidak berkaitan dengan prinsip Islam kerana ia melibatkan undang-undang sivil disebabkan Indira dan bekas suaminya K. Pathmanathan (juga dikenali sebagai Muhammad Riduan Abdullah setelah memeluk Islam), merupakan penganut Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan di bawah undang-undang sivil.

"Apabila anda melangsungkan perkahwinan sivil, sebarang isu yang timbul daripada perkahwinan itu perlu diselesaikan di mahkamah sivil. Hal itu prinsip yang jelas. Tidak ada pertikaian tentang perkara itu," katanya dan menambah beliau dikritik seolah-olah tidak melindungi Islam.

Tengku Maimun akan bersara pada Julai tahun ini apabila mencapai usia 66 tahun, umur persaraan wajib bagi hakim, kecuali tempoh perkhidmatannya dilanjutkan enam bulan lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan