AM > BERITA

JPJ Perak Keluarkan 353 Notis Pada Hari Pertama Op TBC

21/01/2025 01:46 PM

IPOH, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan 353 notis kesalahan selain 21 motosikal disita pada hari pertama Operasi Khas Sempena Tahun Baharu Cina (Op TBC) yang diadakan di Jalan Tambun dekat sini hari ini.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata jumlah itu merupakan hasil pemeriksaan terhadap 1,025 kenderaan membabitkan 927 motosikal dan 98 kereta.

Mohammad Yusoff berkata 21 motosikal itu disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau berkata kebanyakan kesalahan yang dikesan membabitkan motosikal adalah tiada lesen, motosikal tiada cukai jalan dan motosikal diubah suai secara ekstrem, selain tidak mematuhi peraturan jalan raya.

"Tujuan kita lakukan operasi khas motosikal ini adalah kerana kita mendapati antara 60 hingga 75 peratus kemalangan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, (maka operasi itu) untuk pastikan tahap keselamatan mereka diutamakan," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Pada masa sama, Mohammad Yusoff menyatakan pihaknya akan meneruskan taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, selain melakukan pemeriksaan bas di depoh terminal pada musim perayaan kali ini.

Mohammad Yusoff berkata penyamaran sebagai penumpang bas akan dijalankan sepanjang Op TBC bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan ditetapkan, selain pemeriksaan berkala di empat terminal bas di negeri ini. 

"Operasi bermula 20 hingga 28 Jan depan sebelum Tahun Baharu Cina, manakala 31 Jan hingga 9 Feb bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan," katanya. 

Beliau berkata antara kesalahan yang akan diberikan tumpuan adalah kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan