KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan berhasrat memperkukuhkan usaha meneroka kerjasama dan peluang baharu dalam pengembangan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan francais.
Perkara itu antara inti pati perbincangan pada kunjungan hormat Timbalan Menteri Ekonomi dan Kewangan Uzbekistan Dr. Umid Abidhadjaev keatas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan hari ini.
Ramanan berkata pertemuan produktif itu turut mencerminkan keyakinan Uzbekistan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sektor PMKS dan francais ke peringkat global.
“Fokus utama termasuk memperluas kerjasama dalam inovasi, pembangunan PMKS, dan memperkasa sektor PMKS dan francais bagi kedua-dua negara dengan lebih signifikan.
“Kerjasama ini tidak hanya membawa manfaat ekonomi semata-mata, tetapi juga menyuntik keyakinan bahawa hubungan Malaysia-Uzbekistan adalah contoh teladan hubungan diplomatik yang kukuh dan progresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan turut menyifatkan pertemuan itu lebih daripada sekadar diplomasi, kerana ia langkah penting untuk membawa sektor PMKS dan francais kedua-dua negara untuk terus berkembang dan menembusi pasaran masing-masing.
“Melalui kepesatan ekonomi Malaysia dan potensi besar di Uzbekistan, kerjasama strategik ini mampu membuka ruang baharu untuk perdagangan dan pelaburan yang lebih dinamik,” katanya.
Ramanan berkata perbincangan itu juga membuktikan kepercayaan dan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampanan ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga yakin momentum kerjasama itu semakin memuncak dengan kejayaan lawatan rasmi Anwar ke republik itu pada Mei lepas, serta persiapan bagi menyambut kunjungan bersejarah Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada 4 hingga 6 Feb ini.
“Lawatan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelbagai kerjasama strategik mencakupi bidang perdagangan, pelaburan, dan teknologi yang sekali gus memberi nafas baharu kepada hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak 1992, menjadikan kedua-dua negara rakan kongsi yang lebih dinamik dan relevan di pentas global,” katanya.
Beliau berkata statistik perdagangan menunjukkan hubungan ekonomi dua hala yang semakin berkembang pesat dengan nilai perdangangan dua negara mencecah RM325.60 juta (US$71.03 juta) tahun lepas, menjadikan Uzbekistan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas Kazakhstan di rantau Asia Tengah.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial