KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Ekonomi untuk diberi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kekal relevan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat berilmu.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan itu perlu bagi memberi keupayaan kepada PNM menyesuaikan perkhidmatan mereka dengan kehendak generasi baharu dalam dunia yang pantas berubah.
“Di bawah perpustakaan, kita membuat permohonan membangunkan ruang pembelajaran interaktif dan imersif di PNM untuk kanak-kanak dan memohon memperkasakan kandungan digital melalui pendigitalan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Malam Gemilang Anjung Bestari@PNM di sini malam ini.
Aaron berkata selain tiga permohonan utama itu, kementerian berkenaan turut memohon peruntukan untuk pembangunan Platform u-Pustaka 2.0 serta menaik taraf fasiliti auditorium, bilik serbaguna, bilik syarahan dan studio PNM.
Terdahulu, beliau merasmikan Bangunan Anjung Bestari PNM yang telah dibuka semula sejak 2 Jan lepas setelah menjalani penambahbaikan dan pengubahsuaian selama lima tahun menerusi Projek Pemusatan Perkhidmatan Perpustakaan.
Beliau berkata projek bernilai RM12.8 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua RMK11 itu bertujuan memusatkan perkhidmatan perpustakaan daripada tiga bangunan berbeza kepada semua perkhidmatan di bawah satu kompleks di Bangunan Anjung Bestari.
“Pusat ini juga mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat melalui empat peranan utama iaitu ruang pembelajaran yang inklusif, ruang dialog, pemeliharaan warisan dan budaya serta platform interaksi,” katanya.
Beliau berkata, penyiapan projek yang dilaksanakan hasil kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menjadi pusat antara budaya yang menyatukan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya serta mencipta ekosistem menyuburkan perpaduan dan kecemerlangan intelektual.
Pada majlis itu turut menyaksikan penyerahan dokumen perakuan serahan kerja siap Projek Pemusatan Perkhidmatan PNM antara Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial