KANGAR, 23 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengukuhkan kerjasama dengan empat universiti di Thailand seiring hasrat Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang menyuarakan kepentingan penglibatan setiap institusi pengajian tinggi di negara ini dalam menjayakan agenda Kepengerusian ASEAN.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata pengukuhan kerjasama itu dilaksanakan bersama Walailak University (WU); RUTS Rajamangala University of Technology Srivijaya; Thaksin University dan Songkhla Rajabhat University dengan menumpukan bidang akademik serta penyelidikan berfokuskan pelajar dan komuniti global.
“Melalui perbincangan diadakan, kami memberi tumpuan bagi pembangunan program dwiijazah untuk siswazah, mobiliti untuk pelajar dan petugas, penyelidikan bersama, penganjuran persidangan bersama dan latihan amali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaliman berkata tanggungjawab negara sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini ialah satu kedudukan strategik untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam pelbagai bidang termasuk akademik yang semakin signifikan dalam landskap pembangunan rantau itu.
“UniMAP yakin dengan lantikan ini, Malaysia melalui KPT akan memperkukuh lagi kerjasama pendidikan tinggi di ASEAN dengan meningkatkan mobiliti pelajar dan pensyarah serta mewujudkan satu ruang pendidikan serantau lebih integrasi dan berdaya saing,” katanya.
Untuk rekod, secara rasminya Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” yang mencerminkan aspirasi negara bagi membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial