SHAH ALAM, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor mencadangkan tiga tapak lain untuk melepaskan lembu secara selamat kepada penternak yang telah menerima notis pengusiran daripada syarikat ladang, SD Guthrie, Sabak Bernam.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata tapak yang dicadangkan ialah tanah warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Bagan Nakhoda Omar; tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Mukim Sungai Panjang; atau tanah warta Pentadbir Tanah Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah untuk menjamin keselamatan awam, kepentingan penduduk setempat selain ingin mewujudkan situasi menang-menang demi menoktahkan isu berkenaan.
“Penternakan yang dibenarkan di tapak-tapak ini hendaklah dijalankan secara feedlot dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Kerajaan Selangor komited dalam memastikan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam isu ini, termasuk penternak lembu, syarikat ladang, dan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai notis pengusiran, Rizam berkata keputusan untuk memberikan notis berkenaan bukan dibuat kerajaan negeri, tetapi ia polisi dalaman yang ditentukan syarikat terbabit memandangkan tanah ladang yang terlibat adalah milik syarikat.
Pada 18 Dis, Rizam dilaporkan berkata SD Guthrie akan mengeluarkan notis rasmi kepada penternak lembu yang menduduki tanah syarikat itu secara tidak sah, untuk memindahkan haiwan ternakan dari ladang mereka di Sabak Bernam, selewat-lewatnya 31 Jan.
Beliau berkata langkah itu susulan aduan pelbagai pihak berkaitan lembu ternakan yang didakwa dibiar bebas, sehingga menjejaskan keselamatan penduduk serta berlakunya insiden seorang lelaki meninggal dunia pada 23 Okt, ekoran motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Sabak Bernam.
Semalam, Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional R Vijayagandi menggesa kerajaan Selangor campur tangan bagi membatalkan notis pengusiran ternakan dikeluarkan SD Guthrie kepada penternak haiwan di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam pada 31 Dis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial