KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada 26,170 rakyat Syria yang terkesan dalam fasa pemulihan pascakonflik negara Timur Tengah itu.
Serantau Muslim dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan itu merangkumi 5,970 unit keperluan asas termasuk pek makanan, kelengkapan musim sejuk, dan pemanas badan.
“Fokus bantuan tertumpu kepada dua kumpulan utama iaitu penduduk dalam Syria yang sedang bangkit membina semula kehidupan pascapembebasan regim Al-Assad, serta keluarga pelarian di kem-kem di negara jiran seperti Turkiye, Lebanon dan Jordan.
“Bantuan ini amat kritikal, memandangkan suhu musim sejuk yang ekstrem kini telah menjadi ancaman kepada nyawa mereka, ditambah dengan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu program bantuan kemanusiaan itu mencerminkan komitmen negara dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI melalui bantuan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang prihatin terhadap kesejahteraan ummah sejagat.
Kenyataan itu memaklumkan Serantau Muslim akan terus komited dalam usaha membantu penduduk Syria bangkit semula membina kehidupan baharu yang lebih baik, selaras dengan matlamat pertubuhan itu membantu golongan yang memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial