AM > BERITA

APM Lancar Op Prihatin Sempena Tahun Baharu Cina

24/01/2025 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini melancarkan Op Prihatin 2025 dengan tujuan utamanya meningkatkan sikap membantu rakyat Malaysia dalam khidmat kemanusiaan menerusi pasukan itu, bersempena dengan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata operasi berkenaan merupakan kesinambungan Op Bantu yang telah dilaksanakan pada 2010 hingga 2021 dan telah diberikan nafas baharu kepada Op Prihatin yang diperkenalkan pada 2022 hingga kini dengan memperluas skop penugasan APM.

Beliau berkata Op Prihatin itu melibatkan sebanyak 1,416 pegawai dan anggota merangkumi 14 Pejabat Negeri Pertahanan Awam dan 118 Pejabat Daerah Pertahanan Awam serta Pejabat Unit Pertahanan Awam di seluruh negara.

“Op Prihatin tahun ini terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa pertama bermula pada 25 Jan hingga 2 Feb dan fasa kedua bermula pada 29 Mac hingga 6 April bersempena dengan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran operasi itu di Stesen Minyak Petronas, Taman Putra Budiman, Balakong dekat sini hari ini.

Ismail berkata antara perkhidmatan yang disediakan semasa Op Prihatin ialah khidmat kemanusiaan seperti kes pokok tumbang, kemalangan jalan raya, pembaikan kecil kerosakan dan khidmat nasihat mengenai langkah perawatan atau ilmu pertahanan awam kepada
komuniti.

“Selain itu, APM juga akan melaksanakan rondaan pada hari tertentu di lokasi tumpuan ramai, hotspot seperti pusat peranginan, pusat beli-belah, rumah ibadah dan lain-lain lokasi yang mempunyai ciri sama,” katanya.

Sementara itu, Ismail turut menasihati masyarakat agar lebih berwaspada ketika tempoh peralihan monsun yang telah bermula pada November 2024 dan berterusan hingga Mac 2025. 

“Masyarakat diminta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui pelbagai saluran yang telah dikeluarkan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan