AM > BERITA

Malaysia Jadi Tumpuan Pelancongan Perubatan, Dorong Isu Klinik Palsu

25/01/2025 04:52 PM

KULIM, 25 Jan (Bernama) -- Kedudukan negara sebagai antara destinasi pilihan pelancongan perubatan, telah mendorong kegiatan seperti perkhidmatan klinik dan perakuan sijil doktor palsu berlaku, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sektor perubatan negara kita mendapat perhatian sangat baik daripada negara jiran terutama Indonesia, yang sering memilih fasiliti kesihatan di Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi maka timbullah gejala klinik palsu, sijil perakuan doktor palsu...Tapi sistem kita tak sewenangnya dapat diatasi dan sebab itulah kita dapat kesan (kegiatan pemalsuan ini).

“Jabatan Imigresen bertanggungjawab mengeluarkan visa perubatan, tetapi terdapat isu penyalahgunaan seperti sijil perubatan palsu dan klinik tidak sah. Imigresen akan terus uruskan dengan cermat sebelum sesuatu visa dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan dekat sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menahan 10 lelaki warga Bangladesh dalam serbuan ke atas klinik doktor warga asing di sembilan lokasi sekitar ibu negara.

Sementara itu mengenai permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kerakyatan empat pemain warisan, Saifuddin Nasution berkata keputusannya akan diketahui seawal satu bulan.

Beliau berkata proses semakan akan dilaksanakan terlebih dahulu bagi menentukan kategori permohonan, sama ada mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.

Terdahulu, FAM hari ini menjelaskan bahawa empat pemain warisan baharu yang bakal memperkuat Harimau Malaya, sedang menunggu kelulusan muktamad daripada pihak kerajaan.

FAM turut mengesahkan bahawa mereka juga dalam proses bagi melengkapkan pendokumentasian bagi empat pemain lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan