AM > BERITA

KPDN Johor Puji Tindakan Pantas Halang Penyelewengan RON95

25/01/2025 06:05 PM

PONTIAN, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memuji tindakan pantas seorang pekerja sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru kerana menghalang pemilik kenderaan berpendaftaran asing daripada mengisi petrol RON95. 

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata tindakan pantas pekerja itu berjaya memastikan barangan bersubsidi yang dikhususkan untuk rakyat tempatan tidak diseleweng. 

Beliau berkata KPDN Johor telah menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas pihaknya mengesan rakaman video tersebut tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku pada Selasa lepas. Pemilik kenderaan tersebut menggunakan kad debit untuk mengisi minyak, tetapi berjaya dihentikan apabila pekerja stesen minyak itu mengesan cubaan menyeleweng bahan berkenaan. 

"Kita ada bukti menunjukkan pemilik kenderaan itu hanya sempat mengisi kurang daripada seliter minyak petrol RON95," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Johor di sebuah pasar raya di Pekan Nanas di sini hari ini. 

Lilis Saslinda berkata pemilik kenderaan berkenaan yang merupakan seorang wanita kemudian mengisi minyak petrol RON97 seperti sepatutnya selepas teguran pekerja stesen minyak itu. 

Sehubungan itu katanya KPDN Johor mengingatkan pengusaha stesen minyak untuk cakna dengan sebarang cubaan penyelewengan petrol RON95. 

"Seramai 200 penguat kuasa KPDN Johor akan memantau bekalan barangan keperluan terkawal sempena SHMMP termasuk petrol RON95 demi rakyat Malaysia," katanya sambil menambah aduan awam berhubung kejadian penyelewengan di negeri ini dialu-alukan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 12 saat memaparkan seorang wanita bertindak mengisi minyak petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan berwarna merah bernombor pendaftaran asing. 

Tindakan wanita tersebut bagaimanapun dihentikan seorang pekerja stesen minyak itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan