KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- UKM Medicare Sdn Bhd (UKMM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga anak syarikat Radicare (M) Sdn Bhd bagi mengukuhkan penyampaian perkhidmatan dan memacu penggunaan teknologi hijau untuk meningkatkan kecekapan tenaga di fasiliti penjagaan kesihatan.
Tiga anak syarikat berkenaan ialah Radifems Sdn Bhd, Radibems Sdn Bhd, dan Medilaund (M) Sdn Bhd.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UKM Holdings Sdn Bhd Mohd Rizal Zubair, dan Ketua Pegawai Eksekutif Radicare (M) Sdn Bhd Hidaya Yahaya serta disaksikan oleh Ketua Operasi UKMM Nur Nasuhani Rahmat.
Ketika ditemui selepas majlis MoU itu, Mohd Rizal berkata kerjasama berkenaan bertujuan memperkukuh sektor perubatan negara melalui kecekapan penggunaan tenaga demi kelestarian alam sekitar.
“Sinergi antara UKMM dan anak syarikat Radicare mampu membawa perubahan positif kepada industri penjagaan kesihatan di Malaysia, khususnya fasiliti penjagaan kesihatan yang disediakan oleh UKMM.
“MoU ini membuka peluang untuk proses pengawalseliaan yang lebih efisien sekali gus mendorong pemeliharaan alam sekitar dan pelaksanaan teknologi hijau,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama ini akan memperkukuh daya saing UKMM dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan yang holistik, menyeluruh dan inklusif.
Sementara itu, Hidaya berkata kolaborasi dengan UKMM dijangka memberi impak positif dalam meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh sektor perubatan negara.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen anak syarikat Radicare untuk memanfaatkan kekuatan bersama demi mencapai matlamat bersama dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata Kumpulan Radicare kini memberi perkhidmatan kepada 45 hospital kerajaan dan sedang memperluas pasaran ke hospital universiti di Malaysia.
Pengurus Besar Radifems Sdn Bhd Mohd Rozi Mat Noh berkata teknologi hijau yang bakal dilaksanakan adalah sejajar dengan usaha menjaga alam sekitar serta memacu pembangunan mampan.
“Kami yakin teknologi hijau ini akan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di fasiliti penjagaan kesihatan sekali gus menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Medilaund (M) Sdn Bhd Syed Jalal Syed Shuhaimi berkata kerjasama itu akan meningkatkan kualiti rawatan pesakit melalui pengoptimuman kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi hijau.
“Kerjasama ini dijangka menghasilkan penyelesaian penjagaan kesihatan lebih efektif untuk masyarakat. Medilaund adalah antara syarikat perusahaan linen dan dobi fasiliti kesihatan terbesar di Asia Tenggara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial