KOTA BHARU, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti 19 lokasi berisiko berlaku kemalangan jalan raya ketika cuti Tahun Baharu Cina ini.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata antara lokasi terbabit ialah di jajahan Jeli (Jalan Raya Timur Barat), Gua Musang dan Kuala Krai (Jalan Utama Gua Musang-Kuala Krai hingga Kota Bharu) serta jajahan Pasir Puteh (Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu).
"Bomba akan menjalankan rondaan berkala di lokasi berkenaan dan kami menjangkakan berlakunya pertambahan trafik kerana cuti musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Farhan Sufyan berkata JBPM Kelantan menerima 3,112 panggilan kes kebakaran sepanjang tahun lepas berbanding 1,820 pada 2023 yang menyebabkan kerugian harta benda bernilai lebih RM27 juta.
Beliau berkata sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2024 pula, 114 panggilan kes kebakaran direkodkan dengan sembilan peratus daripadanya melibatkan kebakaran bangunan yang kebanyakannya akibat litar pintas.
Selain itu, Farhan Sufyan berkata JBPM Kelantan merekodkan 23 kes kematian akibat lemas sepanjang tahun lepas.
"JBPM selaku urus setia Majlis Keselamatan Aktiviti di Air akan terus mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat melalui kempen pencegahan dan kesedaran serta meningkatkan rondaan berkala di kawasan berisiko," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial