KOTA KINABALU, 28 Jan (Bernama) -- “Dapat jumpa dan sambut perayaan dengan mama juga ayah,” merupakan reaksi yang paling banyak diperolehi kepada ketika Bernama membuat tinjauan tentang impak subsidi tiket penerbangan musim perayaan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), baru-baru ini.
Menerusi subsidi menetapan harga siling RM499 laluan dari Semenanjung ke Sabah, kisah pertemuan semula keluarga yang lama tidak bertemu kerana kekangan kos tinggi kini menjadi kenyataan, membuktikan inisiatif ini bukan sekadar subsidi tetapi jambatan menghubungkan kasih sayang antara anggota keluarga.
Simon Poon Lee Zhe, 28, juruteknik di Cheras, Kuala Lumpur berkata harga tiket mahal terutama ketika perayaan membantutkan hasrat warga Sabah bertugas di Semenanjung untuk pulang, dan menyebabkan mereka tidak dapat bertemu orang tersayang sejak sekian lama malah bertahun lamanya.
Menceritakan pengalamannya beliau yang berasal dari Manggatal pernah menghabiskan lebih RM6,000 untuk membeli tiket penerbangan buat dirinya, isteri dan dua anak pada dua tahun lepas bagi pulang menyambut Tahun Baru Cina, sebelum subsidi penerbangan itu diperkenalkan kerajaan.
“Dengan subsidi ini, saya hanya perlu bayar kira-kira RM3,900 untuk penerbangan pergi balik. Ini sangat membantu kewangan kerana sudah dua tahun saya tidak dapat balik beraya kerana kos yang tinggi. Tahun ini kami sekeluarga dapat berkumpul makan besar sama-sama,” katanya.
Pada 25 Jan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum RM499 pada musim perayaan ke Sabah, Sarawak dan Labuan, berjaya mengurangkan rungutan rakyat mengenai harga tiket penerbangan yang mahal.
Loke juga dilaporkan berkata keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.
Bagi Jaslina Md Jasni, 32, seorang jurukimpal di Klang, Selangor berasal dari Beaufort, subsidi tambang penerbangan itu memberi peluang kepadanya untuk membawa anak sulungnya yang berusia lima tahun bertemu datuk dan neneknya, yang sudah lama tidak bertemu.
“Anak saya jumpa sama datuk dan neneknya bersemuka masa saya bersalin di kampung, kemudian ketika berumur dua tahun kami pulang melawat itu pun tiket hampir RM2,500 dan ini kali ketiga. Bukan tidak sayang tetapi kos terlampau tinggi sampai mama dan beliau (ayah) bilang kumpul dulu duit tidak perlu kerap pulang,” katanya.
Beliau sering menggunakan aplikasi panggilan video atas talian bagi menghubungi ibu bapa serta keluarga di kampung, namun itu tidak sama dengan merasai sendiri sentuhan dan pelukan ahli keluarga ketika bertemu secara bersemuka.
Manakala Agnes Lojikim, 25, seorang jururawat di Nilai, Negeri Sembilan berasal dari Kota Belud, menyifatkan inisiatif kerajaan itu sebagai hadiah istimewa buat rakyat Sabah, terutama buat semua petugas kesihatan seperti dirinya.
Beliau berkata sebagai petugas kesihatan jadual kerja beliau sering berubah menyukarkan beliau untuk pulang dengan lebih kerap, dan cuti musim perayaan merupakan waktu terbaik untuk beliau cuti panjang serta pulang ke kampung halaman.
“Cuti musim perayaan kita memang sudah atur awal dan cuti kita bergilir sesama petugas, jadi mudah sikit kita mau cuti berbanding hari biasa. Tetapi bila tiba giliran saya nah tengok harga tiket kapal terbang melambung. Jadi subsidi ini amat membantu lah untuk saya pulang jumpa keluarga,” katanya.
Pengerusi Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah David Chan berkata tindakan proaktif kerajaan dalam mengurangkan harga tambang penerbangan sempena musim perayaan penting, bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya mereka yang berkerja atau belajar di luar Sabah.
Beliau berkata musim perayaan mempunyai nilai budaya dan emosi kekeluargaan yang mendalam dan tambang penerbangan yang mampu milik membolehkan keluarga berkumpul dan menyambut perayaan itu bersama-sama.
“Pengurangan tambang ini membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kos perjalanan tinggi sering dihadapi pengguna dari Malaysia Timur. Kami berharap kerajaan dapat mengembangkan inisiatif ini dengan mencari penyelesaian jangka panjang. Bersama-sama, kita boleh membentuk Malaysia yang lebih inklusif dan saksama,” katanya.
Menyeru inisiatif itu diteruskan untuk perayaan lain seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, David berkata langkah itu juga akan memastikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan meringankan beban kewangan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial