KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Tradisi makan besar oleh masyarakat Tionghoa sempena menyambut ketibaan Tahun Baru Cina esok, disambut dengan meriah dan penuh bermakna di seluruh negara.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati masyarakat Cina berkumpul bersama keluarga masing-masing bagi meraikan kedatangan Tahun Ular.
Di SELANGOR, kediaman Khoo Chai Ee, 67, di Kota Kemuning, Shah Alam, riuh dengan gelak ketawa anak-anak serta cucunya yang pulang bagi memeriahkan acara makan besar.
Anak lelakinya Khoo Ne Bing, 41, berkata makan besar sudah pasti antara pengisian perayaan yang ditunggu-tunggu olehnya, apatah lagi mengenangkan hidangan gamat yang dimasak secara tumis oleh ibunya.
Di TERENGGANU, Toh Ping Ping, 43, berkata tradisi makan besar kali ini lebih meriah dengan kehadiran abangnya, Toh Li Jie, 49, yang baru pulang dari luar negara.
"Tahun ini amat bermakna kerana kami dapat berkumpul semula (selepas tujuh tahun). Selain hidangan kaum Cina yang biasa, kami juga makan keropok lekor sebagai snek atas permintaan abang yang dah lama tak merasanya," katanya yang memilih makan besar di sebuah restoran di Kuala Terengganu.
Di PAHANG, warga emas Yee Oi Lian, 87, memasak sendiri juadah dan teruja apabila dapat berkumpul bagi acara makan besar bersama-sama anak, cucu serta cicitnya.
Cucunya, Foo Pei Sun, 37, berkata kediaman bapanya Datuk Foo Chek Pang, 61, di Kuantan menjadi tumpuan saban tahun kerana Yee menetap di situ.
“Nenek saya memang aktif malah dia usahakan kebun mini sendiri dan ingin masak lauk hari ini kerana anak, cucu dan cicitnya berkumpul. Tradisi ini (makan besar) sememangnya dapat memupuk semangat kekeluargaan kerana kami dapat berkumpul dan berkongsi cerita antara satu sama lain,” kata usahawan wanita itu.
Di PULAU PINANG, pekerja swasta Jordan Kee Yu Wah, 43, berkata walaupun tradisi makan besar tahun ini terasa pahit berikutan pemergian bapa dan bapa mentuanya, mereka tetap meraikannya.
“Kami adik-beradik akan tetap pulang meraikannya bersama umi (ibu dan ibu mentua). Setiap orang akan bawa makanan seorang sedikit tetapi ada dua jenis makanan wajib dihidang di atas meja iaitu ikan stim dan stimbot,” katanya sambil menambah ikan stim melambangkan tahun yang dilimpahi kemakmuran (nian nian you yu) manakala stimbot pula memberi makna perhimpunan keluarga (tuan yuan).
Di KEDAH, Kong Ting Ming, 38, dari Kampung Berjaya, Alor Setar berkata dia membantu ibunya menyediakan makanan yang halal kerana seorang daripada ahli keluarganya telah memeluk Islam dan akan pulang menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
“Kami mengambil berat berkaitan penyediaan makanan halal dan kami faham perkara itu. Walaupun berbeza agama, kita perlu saling menghormati sebab itu kami sediakan sendiri makanan untuk makan besar di rumah kerana bimbang akan timbul perasaan waswas jika makan di luar,” katanya.
Di PERLIS, bagi Chong Siong Chuan, 48, dari Kangar, makan besar tahun ini berbeza berbanding tahun lepas kerana memilih untuk berbuat demikian di sebuah kafe.
Di PERAK, Lim Ai Jie, 36, dari Bandar Seri Botani, Ipoh berkata tradisi makan besar setiap tahun bersama ahli keluarga dan sanak saudara adalah momen yang dinantikannya kerana mereka jarang berjumpa disebabkan kekangan masa dan kerja masing-masing.
"Ada saudara mara dari Kuala Lumpur dan Johor balik ke sini untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama. Inilah masa yang sangat seronok apabila bersama-sama keluarga kerana bukan selalu dapat begini," katanya ketika ditemui Bernama di sebuah restoran malam ini.
Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 600 penduduk Kampung Baru Sikamat, Seremban meraikan malam sambutan Tahun Baharu Cina dengan penuh kemeriahan.
Program anjuran penduduk di kampung itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dengan memulakan upacara memotong riben di pintu gerbang Kampung Baru Sikamat, diikuti persembahan tarian singa dan naga serta pemberian angpau kepada penduduk setempat.
Turut diadakan gotong-royong memasak rendang, membakar 80 batang lemang dan mengacau tiga kawah dodol bermula pagi tadi.
Di MELAKA, bagi keluarga Kew Li Wen, 32, dari Bukit Cina, tahun ini mereka memilih untuk makan besar dengan cara hidangan periuk makanan panas pelbagai makanan laut dan sayur-sayuran.
Kew berkata makan bersama seisi keluarga begitu sinonim setiap tahun dan ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang turut disertai saudara mara.
Di SABAH, seorang kontraktor Andrew Lo, 73, berkata makan besar adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana dapat berkumpul bersama keluarga yang tinggal berjauhan dan hanya satu atau dua kali setahun dapat berjumpa.
“Setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina, anak-anak saya akan balik lebih awal untuk berkumpul dan mengadakan makan besar bersama… saya mahu mengekalkan tradisi ini dalam keluarga dan saya berharap anak-anak juga mengekalkan tradisi ini," katanya.
Di SARAWAK, pekerja swasta Natasha Jee, 31, berkata makan besar melambangkan kesinambungan tradisi dan memelihara nilai-nilai budaya.
“Generasi lebih tua melihat makan besar sebagai satu tradisi, menekankan nilai hormat, tanda kesyukuran dan pentingnya perpaduan dalam keluarga, namun bagi generasi muda seperti anak-anak saudara saya, ia merupakan peluang untuk mereka mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga dan mempelajari tradisi keluarga,” katanya.
Di JOHOR, seorang peniaga Muhammad Ridhuan Tew Abdullah, 38, berkata biarpun dia seorang mualaf, perkara itu tidak menghalangnya untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga sama seperti sebelum memeluk Islam 11 tahun lepas.
“Bagi menyambut makan besar bersama keluarga, untuk saya, isteri dan anak-anak, mereka (keluarga) akan menempah makanan halal dan akan makan bersama-sama kami.
“Keesokannya pula kami sekeluarga tidak akan melepaskan peluang untuk menziarahi dan berkunjung ke rumah sanak saudara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial