AM > BERITA

Raja Perempuan Kelantan Berkenan Rasmi Rumah Ternak Ikan An-nisa

30/01/2025 03:30 PM

KOTA BHARU, 30 Jan (Bernama) -- Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan merasmikan Rumah Ternak Ikan An-Nisa di Masjid D’Raja Tengku Aziza, Melor, di sini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan melepaskan anak ikan tilapia yang berukuran antara tiga hingga empat inci, sebanyak 1,000 ekor ke dalam kolam. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata Rumah Ternak Ikan An-Nisa itu merupakan projek rintis yang dilancarkan oleh Agrobank untuk memperkasakan pertanian bandar melalui Teknologi Bioflok untuk melakukan aktiviti perikanan.

Beliau berkata setakat ini, Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM80,000 bagi projek tersebut dan bercadang untuk memperluaskan pelaksanaannya ke empat masjid lagi di negeri ini, iaitu di jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Machang, sebelum ia diperluaskan ke seluruh masjid di seluruh negara.

“Empat lagi masjid belum diputuskan dan ia akan dibincangkan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Setiap masjid akan menerima peruntukan sehingga RM15,000 untuk melaksanakan penternakan ikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Rumah Ternak Ikan An-Nisa di Masjid D’Raja Tengku Aziza, Melor di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahmad Badli Shah berkata Teknologi Bioflok adalah inovasi yang mentransformasikan industri akuakultur melalui kaedah pengurangan pertukaran air menerusi adaptasi pemprosesan sisa domestik.

“Menerusi projek ini, ia memberi peluang kepada pihak masjid untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian bandar, khususnya dalam bidang perikanan. Dalam masa tiga hingga empat bulan, pihak masjid mampu menuai hasil ternakan sehingga mencecah 500 kilogram,” katanya.

Katanya, usaha ini secara tidak langsung boleh memberi pendapatan kepada masjid, sekali gus mengimarahkan silaturahim antara kariah masjid dan masyarakat setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan