Oleh Rohaiza Ab Rahman
KOTA BHARU, 30 Jan (Bernama) -- Wan Habsah Wan Ahmad, yang lebih mesra dipanggil Cef Ustazah, melangkah ke tahap baharu dalam perjalanan perniagaannya selepas lebih 15 tahun bergelut dalam dunia produk sedia dimakan.
Wanita berusia 50 tahun itu kini menyusun strategi untuk membawa produk keluarannya ke pasaran ASEAN, seterusnya menembusi arena global.
Bermula dengan usaha kecil-kecilan di ruang dapur rumahnya, produk yang dihasilkan secara manual kini bersedia memasuki pasaran antarabangsa setelah terpilih sebagai antara peserta program usahawan IDEAS Malaysia yang dianjurkan oleh ASEAN-Korea Coorperation Fund.
“Saya tahu peluang ini adalah titik permulaan yang akan mengubah perjalanan perniagaan saya. Namun, untuk menjayakan impian ini, saya perlu menyusun semula struktur operasi, memperkukuh pasukan pekerja, dan memperkenalkan teknologi mesin moden agar proses pengeluaran menjadi lebih efisien,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.
Wan Habsah berkata beberapa produk utamanya di bawah jenama ‘Chef Ustazah’ terutama ‘garlic spread’, yang telah meraih jualan lebih RM500,000 melalui platform TikTok, akan dijadikan kunci dalam memperkenalkan jenamanya ke mata dunia.
“Saya amat teruja (dengan peluang ini), tetapi sedar bahawa kejayaan memerlukan perancangan yang teliti. Setiap langkah perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, agar kejayaan yang diimpikan benar-benar tercapai,” katanya.
Kini, dengan lebih 130 jenis produk sedia dimakan di bawah jenama beliau, Wan Habsah berhasrat untuk memberi fokus kepada beberapa produk yang mendapat sambutan tinggi di pasaran tempatan untuk diperkenalkan di pasaran ASEAN dan global.
Wan Habsah juga mengakui pemasaran digital adalah senjata utama dalam memperluas jangkauan pasaran dan dengan bimbingan dalam pemasaran digital selama enam bulan menerusi program IDEAS, beliau berjaya membina jaringan pemasaran yang kukuh melalui media sosial.
Mempunyai lebih 28,000 ‘affiliate’ di TikTok, beliau turut mengakui bahawa platform berkenaan telah menjadi penyumbang utama kepada lonjakan jualan produknya.
Pencapaian luar biasa itu membawa Wan Habsah ke kedudukan keempat dalam jualan produk tertinggi di TikTok pada Disember lepas, hanya di belakang jenama besar seperti Farm Fresh.
Memiliki Ijazah Syariah dan Pengajian Islam daripada sebuah universiti di Jordan, Wan Habsah mengakui minat mendalamnya terhadap dunia masakan adalah pendorong utama di sebalik kejayaannya.
“Masakan adalah bahasa jiwa saya. Saya percaya produk tempatan kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Saya akan terus fokus untuk membawa jenama ‘Chef Ustazah’ lebih jauh lagi, dan saya yakin dunia akan membuka pintunya kepada produk kita,” katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini membuka peluang untuk menumpukan perhatian kepada 70 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial