AM > BERITA

Mohamed Azam Dilantik Semula Ketua Pengarah IKIM Mulai 3 Feb

31/01/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik semula sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk tempoh tiga tahun bermula Isnin ini hingga 2 Feb 2028.

IKIM dalam kenyataan memaklumkan perlantikan semula Mohamed Azam dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“IKIM mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan semula ini dan berharap di bawah kepimpinan Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam akan membawa IKIM ke tahap lebih cemerlang serta memberi impak lebih signifikan kepada masyarakat di negara ini dan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Mohamed Azam  yang dilahirkan pada 18 Jun 1966, memulakan perkhidmatannya di IKIM sebagai Ketua Pengarah pada 3 Feb 2022.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda bidang syariah dari Universiti Malaya, beliau seterusnya menyambung pengajian pascasarjana hingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada 2007 dari School of Oriental and African Studies University of London, United Kingdom.

Kerjayanya dalam dunia akademik bermula di Universiti Teknologi MARA dari 1990 hingga 2020 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies dari 1 April 2013 hingga Feb 2022.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kumpulan CIMB dari 2014 hingga 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan