Oleh Amanina Mohamad Yusof
PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025 bakal berlangsung penuh meriah menerusi penganjuran lebih 60 program di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim berkata kesemua program itu dianjurkan di bawah enam teras iaitu pengiktirafan; ilmiah dan pendidikan; usahawan; kemasyarakatan; seni dan budaya serta sukan sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.
“Program dilaksanakan berfokus kepada kesejahteraan rakyat bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang berkonsepkan mesra rakyat dengan melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
“Kami akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat swasta, wakil komuniti setempat, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program yang dirancang sempena SHWP,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata SHWP akan disambut di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan selama sebulan bermula esok, dengan Kuala Lumpur menjadi pilihan untuk acara kemuncak sambutan hari itu.
Noridah berkata antara program utama yang bakal dianjurkan termasuk Larian Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada 1 Feb, Labuan (9 Feb) dan Kuala Lumpur (19 Feb).
Selain itu, beliau berkata program Bersih-Kal iaitu beriadah sambil menjalankan aktiviti pembersihan, dan FT GORO iaitu gotong royong yang dilaksanakan bagi merealisasikan visi bandar berdaya huni dan menjamin kesejahteraan seluruh warganya.
“Turut diadakan program Jualan Rahmah Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Rahmah Malaysia, yang menawarkan harga lebih murah bagi barangan keperluan asas.
“Selain itu, Derma Darah Wilayah Persekutuan, pertandingan memancing, Putrajaya Bird Race and Fotografi 2025, Pertandingan Memanah Inter Wilayah Persekutuan, WP Challenge: Mini Explorace, Kejohanan Muaythai, belon air gergasi, dan Hari Terbuka Putrajaya 2025,” katanya.
Noridah berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) juga akan melaksanakan Kempen Jom Bayar Saman atau Kompaun bersempena Hari Wilayah Persekutuan selama sebulan bermula esok.
Semasa kempen itu, saman atau kompaun dikurangkan kepada RM10 manakala Saman Mahkamah dikurangkan kepada RM30.
“Orang ramai boleh menyemak saman atau kompaun melalui laman sesawang PPj di https://www.ppj.gov.my (klik menu kompaun) dan bayaran juga boleh terus dibuat di laman sesawang yang sama.
“Orang ramai boleh turut hadir ke kaunter bayaran, Pusat Khidmat Pelanggan PPj untuk urusan bayaran,” katanya menambah semakan dan bayaran saman atau kompaun juga boleh dilakukan di reruai PPj semasa Hari Terbuka Putrajaya yang akan berlangsung empat hari mulai 6 Feb ini,” katanya.
Noridah dalam pada itu berkata sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan telah diedarkan dalam program kibar bendera yang menjadi simbolik atau signature kepada sambutan tersebut pada setiap tahun.
Beliau berkata bendera itu dikibarkan serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan bagi membangkitkan semangat cintakan Wilayah Persekutuan dalam kalangan penduduk.
“Dengan pelbagai program menarik, SHWP 2025 diharap dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan kecintaan dalam kalangan warganya,” katanya.
SHWP pada tahun ini merupakan kali ke-21 sejak penganjuran kali pertama pada 2004, dengan tema “Wilayah Persekutuan Kita”.
Berdasarkan statistik 2024, Wilayah Persekutuan mempunyai jumlah penduduk 2.289 juta orang, dengan Kuala Lumpur mencatatkan 2.067 juta orang, diikuti Putrajaya (120,300) dan Labuan (100,800).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial