KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan komitmen Malaysia dalam membiayai pembinaan semula sekolah, hospital dan masjid di Gaza.
MAHAR menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan solidariti teguh Malaysia terhadap rakyat Palestin serta komitmen negara dalam melaksanakan tindakan kemanusiaan yang bermakna.
“Usaha kemanusiaan memerlukan lebih daripada sekadar keprihatinan, ia memerlukan pengetahuan, perancangan strategik dan ketahanan dalam menghadapi cabaran di lapangan,” kata Presiden MAHAR, Jismi Johari, dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MAHAR tetap teguh dalam misinya untuk menyokong saudara-saudara kita di Palestin dan bersedia menyumbang ke arah visi kemanusiaan Malaysia yang lebih luas,” katanya.
MAHAR menegaskan sokongan penuh terhadap usaha murni ini dan komited untuk memainkan peranan aktif dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, menggerakkan kepakaran serta memastikan sumber yang diperuntukkan digunakan secara efektif bagi kejayaan projek pembinaan semula ini.
Selain usaha pembinaan semula, MAHAR turut mengiktiraf keperluan mendesak untuk membantu rakyat Palestin yang dipindahkan, khususnya mereka yang kini berada di Malaysia.
Pertubuhan itu menyeru agar langkah diambil bagi memudahkan pengurusan dokumentasi dan permit kerja untuk pelarian Palestin, bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan sementara menanti pemulihan Gaza.
Selain itu, MAHAR juga memperjuangkan sokongan tambahan kepada pelajar universiti Palestin di Malaysia yang keluarganya kehilangan sumber pendapatan akibat konflik berterusan.
Menerusi inisiatif Dapur Ihsan, MAHAR akan terus menyediakan makanan siap masak kepada golongan memerlukan, di samping meneruskan penghantaran bekalan makanan dan bantuan asas kepada komuniti yang terjejas di Gaza.
“MAHAR akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan utama bagi memastikan respons kemanusiaan yang holistik dan berkesan, baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial