AM > BERITA

Pembukaan Parlimen Isnin Ini, Titah Agong Tumpuan Utama

01/02/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula Isnin ini dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Inti pati Titah Diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 itu akan disiarkan secara langsung bermula 10 pagi menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat ke Dataran Parlimen bagi menerima sembah Hormat Diraja oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat berkenaan.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Feb.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb, menurut takwim itu.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Feb.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

Dalam pada itu, antara agenda penting pada persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua beberapa RUU antaranya RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024.

Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata perjalanan persidangan Dewan Rakyat kali ini akan dilaksanakan secara lebih tegas dengan tidak membenarkan sebarang tindakan 'mainan politik' dalam kalangan Ahli Parlimen ketika majlis mesyuarat berlangsung.

Bagaimanapun, beliau yakin semua Ahli Parlimen akan mempamerkan sikap profesional dan lebih matang dalam membincangkan isu rakyat.

“Perbincangan Ahli Parlimen perlu lebih fokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Saya juga akan lebih bertegas dan tidak akan membenarkan permainan politik (ketika persidangan) berterusan.

“Tumpuan persidangan juga perlu diberikan kepada inti pati Titah Diraja, saya jangka ia menyentuh soal pembangunan negara kerana tahun lepas kita melihat petunjuk serta prestasi baik ekonomi, di samping Kepengerusian ASEAN dan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan