AM > BERITA

Thaipusam: Perkhidmatan Perubatan, Kecemasan Dipertingkat Di Batu Caves

04/02/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan perubatan dan tindak balas kecemasan akan dipertingkat sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves tahun ini, dengan dianggarkan antara 1.2 hingga 1.5 juta penganut Hindu serta pengunjung membanjiri kawasan berkenaan pada 11 Feb ini.

Bagi melancarkan pergerakan orang ramai, sebuah unit komunikasi dan koordinasi kawalan pusat telah ditubuhkan atas arahan Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam (SMMTD) Tan Sri R. Nadaraja, bagi memastikan sistem tindak balas kecemasan yang lebih teratur.

Penyelaras Perubatan dan Kecemasan SMMTD untuk Thaipusam 2025 Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata inisiatif itu bermatlamat memastikan pengurusan yang cekap bagi menangani jumlah besar pergerakan penganut Hindu.

“Pasukan Kecemasan dan Trauma Selayang akan digerakkan bagi memberi sokongan perubatan sepanjang perayaan itu. Memandangkan Batu Caves menjadi kawasan tumpuan utama, pasukan ini telah bersiapsiaga untuk menangani sebarang kemungkinan kecemasan perubatan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama berkaitan persiapan sambutan Thaipusam di Batu Caves.

 Beliau berkata Komander Perubatan untuk Thaipusam 2025 yang juga Pakar Perubatan Kecemasan di Hospital Selayang Dr Nabil Muhammad Al Kuddoos, telah mengetuai inisiatif terbabit sejak lebih 10 tahun dengan penglibatan lapan hospital awam berserta sembilan agensi kerajaan, badan beruniform, dan pertubuhan sukarelawan.

Turut terlibat antaranya Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, St John Ambulans Wilayah Persekutuan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Persatuan Kecemasan Sukarelawan Malaysia (PKSM), Pertubuhan Sukarelawan Ambulans India Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pusat Darah Negara.

Sebanyak 1,500 anggota akan ditempatkan bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk semua pengunjung.

Sementara itu, Dr Nabil Muhammad berkata zon tindak balas kecemasan diwujudkan di Batu Caves tahun ini bagi menambah baik usaha memberi bantuan dengan mudah di kawasan sesak dan masa tindak balas semasa situasi kecemasan.

Beliau berkata ia bukan sahaja meliputi kawasan Batu Caves seluas 5.6 hektar, tetapi juga hingga ke tebing sungai di tempat pembawa kavadi memulakan perjalanan mereka serta ke dalam kuil.

“Hal ini dapat memastikan pasukan kecemasan dapat mengharungi orang ramai dengan cekap, mengurangkan masa tindak balas dan memberikan bantuan segera.

“Lokasi tumpuan lain ialah 272 anak tangga menuju ke kuil gua utama dan laluan sepanjang 14 kilometer bagi perarakan pedati perak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee ke Batu Caves," katanya.

Batu Caves dan kawasan sekitarnya telah dibahagikan kepada 24 zon perubatan, termasuk kawasan tumpuan tertentu seperti Gua Gelap, stesen KTM, tebing sungai, dan jejambat di hadapan pintu masuk utama kuil. Zon-zon ini telah dinomborkan dan dikelaskan dalam kategori A dan B, seperti 5A dan 12B.

Pemegang Amanah SMMTD Datuk N. Sivakumar berkata perarakan pedati perak yang membawa patung Dewa Muruga, akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee pada 9 malam 9 Feb, merentasi perjalanan sejauh 15 kilometer ke Batu Caves. 

Beliau berkata persiapan juga termasuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan laluan yang teratur dan selamat.

“Dianggar sekurang-kurangnya 100,000 penganut akan mengiringi perarakan pedati perak dengan laluan yang dirancang rapi bagi menampung jumlah besar orang ramai,” katanya.

Sivakumar berkata sukarelawan memainkan peranan penting dalam menguruskan orang ramai, memberi arahan dan membantu penganut Hindu sepanjang perayaan itu.

“Pihak SMMTD pula akan melibatkan 1,500 sukarelawan sepanjang tiga hari perayaan itu, manakala agensi penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu memantau pergerakan orang ramai dan menangani kesesakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan