SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Kay's Steak & Lobster terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri makanan premium dengan pembukaan cawangan keempat di Elmina Temu, di sini, selepas mencatat kejayaan besar dengan jualan mencecah RM17 juta sepanjang tahun lalu menerusi tiga cawangan sedia ada.
Pengarah Urusannya Aizuddin Khalid berkata pemilikan sijil halal menjadi antara faktor utama restorannya semakin dikenali dan mendapat sambutan ramai selain keupayaan menarik minat pelanggan dalam kalangan bukan Islam dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata dengan kapasiti 60 orang pelanggan dalam satu masa, cawangan baharu Kay's Steak & Lobster menjanjikan pengalaman menarik menerusi hidangan utama restoran iaitu Garlic Butter Lobster, Signature Beef Wellington dan Ribeye Steak.
"Sambutan yang diterima sangat baik terutamanya setelah restoran ini memperkenalkan Signature Beef Wellington yang halal, malah tidak keterlaluan jika saya katakan agak sukar untuk mendapatkan juadah sama yang halal meskipun di Malaysia.
"Kesemua juadah disediakan oleh 12 orang cef profesional dan berpengalaman menggunakan bahan-bahan khas yang diimport daripada Amerika Syarikat (udang galah), Kanada (udang galah) dan Australia (daging lembu)," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada pembukaan cawangan baharu di Elmina Temu di sini hari ini.
Aizuddin berkata pelanggan yang pernah menjamu selera di restoran yang menjanjikan pengalaman gastronomi terbaik itu juga sering memberikan maklumbalas yang baik berhubung kesegaran udang galah dalam hidangan yang disediakan.
Beliau berkata Kay's Steak & Lobster hanya menggunakan udang galah yang segar dengan pelanggan diberikan kebebasan untuk membuat pilihan saiz yang sesuai dengan kemampuan dan selera masing-masing.
"Walaupun harga udang galah mahal, namun rata-rata pelanggan baharu atau lama tidak kisah dan boleh menerimanya memandangkan hidangan yang dihasilkan oleh kami dijamin berkualiti sepertimana dijanjikan.
"Usah khuatir kerana stok makanan laut kami sampai setiap hari, jadi tidak ada isu makanan tidak segar dan disempurnakan lagi dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan halal," katanya.
Dalam masa sama, Aizuddin turut memaklumkan Kay's Steak & Lobster akan melebarkan lagi operasinya dengan pembukaan satu lagi cawangan baharu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara pada Ogos depan.
Bersempena dengan Ramadan yang bakal tiba, pihaknya kini sedang merangka strategi termasuk memperkenalkan menu khas bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang bulan tersebut.
Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi Kay’s Steak & Lobster di Putra Heights, Ampang, Putrajaya dan Elmina Temu. Restoran ini dibuka setiap hari dari 12 tengah hari hingga 10 malam, kecuali Jumaat yang beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial