BINTULU, 5 Feb (Bernama) -- Keadaan banjir yang melanda Bintulu sejak seminggu lalu kini hampir pulih sepenuhnya.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata bagaimanapun, masih terdapat beberapa kawasan yang dalam pemantauan pihaknya.
"Antara kawasan yang masih dipantau ialah Kampung Jepak dan Kampung Kemunting," katanya kepada Bernama.
Menurutnya, beberapa lokasi masih perlu dipantau kerana berisiko mengalami runtuhan rumah akibat banjir, manakala kawasan lain telah surut sepenuhnya.
Mengulas mengenai bencana banjir yang bermula di Bintulu pada 29 Jan lepas, Wan Kamarudin berkata sebanyak 48 lokasi di sekitar bandar itu yang terkesan akibat banjir.
Katanya selain membantu memindahkan penduduk yang terjejas, JBPM Bintulu turut melaksanakan misi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa di kawasan pedalaman yang terputus hubungan.
Wan Kamarudin, yang juga anak jati Bintulu, menyifatkan bencana kali ini sebagai yang paling buruk pernah melanda bandar itu.
"Seumur hidup saya di sini, inilah banjir paling teruk. Malah, kawasan Jepak yang sebelum ini jarang dilanda banjir turut terjejas kali ini," katanya.
Setakat pagi ini, seramai 1,966 mangsa masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial