AM > BERITA

Anwar Rai Presiden Uzbekistan Dalam Majlis Jamuan Tengah Hari

05/02/2025 03:20 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan jamuan tengah hari bagi meraikan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev yang sedang melakukan lawatan ke Malaysia, di Seri Perdana di sini.

Mirziyoyev dan delegasinya, yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari, disambut oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 12.15 tengah hari.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran tujuh dokumen dalam bidang urusan kastam, kerjasama akademik-diplomatik, kesihatan, sains forensik, kebudayaan, pengajian tinggi dan halal, yang disertai oleh para menteri dari kedua-dua negara. 

Mohamad bertukar dokumen dua hala mengenai kerjasama dan bantuan bersama dalam urusan kastam dan kerjasama akademik-diplomatik dengan rakan sejawatnya Bakthiyor Saidov.

Saidov, kemudiannya bertukar dokumen dua hala dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengenai kesihatan. Beliau juga bertukar dokumen dua hala dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, mengenai sains forensik.

Zambry bertukar dokumen dengan Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan Kongratbay Sharipov mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bertukar dokumen dengan Menteri Pelaburan, Industri dan Perdagangan Uzbekistan Laziz Kudratov, dalam bidang penilaian kesesuaian halal.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Khairul Firdaus Akbar Khan bertukar dokumen dua hala dalam bidang kebudayaan dengan rakan sejawatnya Ozodbek Nazarbekov.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan menunjukkan penurunan sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023.

Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan