KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jumlah populasi Harimau Malaya (Panthera Tigris Jacksoni) di negara ini menunjukkan perkembangan yang positif, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Namun, beliau berkata jumlah sebenar haiwan berkenaan hanya akan diketahui selepas menerima angka rasmi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Bancian terakhir (yang dilakukan terhadap Harimau Malaya) menunjukkan kurang daripada 150 ekor. Kita akan menunggu bancian rasmi untuk mendapat angka yang tepat, tetapi berdasarkan angka awal di lapangan yang diterima, terdapat perkembangan positif.
“Ia adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dibantu oleh pertambahan Ranger Komuniti. Namun populasi Harimau Malaya masih kekal berisiko dan memerlukan perlindungan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di sini, hari ini.
Pada 12 Nov lepas, Nik Nazmi berkata NRES terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial