AM > BERITA

Presiden Uzbekistan Hayati Kesenian Islam Di Malaysia

05/02/2025 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev meluangkan masa kira-kira 30 minit menelusuri warisan kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM), di sini hari ini. 

Mirziyoyev dan delegasi yang tiba pada 2.15 petang, dipersembahkan dengan pameran pelbagai manuskrip Islam antaranya manuskrip Al-Quran, kiswah serta model reka bentuk seni bina Islam dari seluruh dunia.

Beliau juga sempat meneliti pameran naskhah kesenian Islam dalam bahasa Uzbek, yang diadakan bersempena Roundtable Discussion on Cultural Heritage: A Bridge between Uzbekistan and Malaysia yang dianjurkan di sini, semalam.

Pengurus Kanan Pejabat Pengarah IAMM Rashidah Salim berkata kunjungan pemimpin Uzbekistan itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha pengekalan budaya Islam di negara berkenaan memandangkan kesenian Islam antara kelebihan buat Malaysia.

Mirziyoyev tiba di negara ini semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016 dan merupakan kunjungan balas susulan lawatan Anwar ke Uzbekistan Mei tahun lepas. 

Terdahulu, Mirziyoyev menerima sambutan rasmi di kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kawalan kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan