AM > BERITA

Berita Ringkas Dewan Rakyat: 5 Feb

05/02/2025 07:57 PM

14,921 RUMAH MAMPU MILIK DILULUSKAN DI SARAWAK SETAKAT SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak 14,921 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah diluluskan di Sarawak setakar 30 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 4,566 unit telah siap dibina, 7,703 unit dalam pembinaan dan baki 2,652 unit masih di peringkat perancangan.

"RMM di Sarawak turut merangkumi 12 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Program Residensi Rakyat (PRR) untuk golongan B40, melibatkan 5,452 unit rumah," katanya menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) yang ingin tahu usaha kementerian menangani isu perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah di Sarawak pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun program MyHome ditamatkan, katanya pemberian subsidi perumahan masih diteruskan menerusi inisiatif i-Biaya yang merupakan jaminan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dengan 1,881 permohonan pinjaman perumahan diluluskan di Sarawak.

-- BERNAMA

 

KKDW PERUNTUK RM57,388 UNTUK TABIKA, TASKA KEMAS DI NEGERI SEMBILAN

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sejumlah RM57,388 tahun ini untuk keperluan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Negeri Sembilan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peruntukan terbabit antaranya merangkumi pembekalan peralatan perabot dan peralatan elektrik.

Beliau berkata selain itu, pada 2024 Kemas Negeri Sembilan telah menerima peruntukan di bawah Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak berjumlah RM347,000 khusus untuk pembekalan peralatan berasaskan digital yang merangkumi pembekalan Smartboard atau papan pintar digital dan projektor LCD.

Rubiah berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai tindakan yang akan diambil kementerian bagi menggantikan peralatan dan kemudahan di kelas Tabika dan Taska Kemas serta usaha mewujudkan tabika keperluan khas pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan